Hanoi tingkat tahap amaran COVID-19

HANOI, 6 OGOS – Hanoi meningkatkan tahap amaran penularan COVID-19 kepada ‘sangat tinggi’, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) menurut Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Nguyen Duc Chung.

Hanoi, yang setakat ini telah mencatatkan tiga kes jangkitan, perlu menjalankan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR), kerana hanya kaedah ini  dapat mengesahkan sama ada seseorang itu negatif atau positif SARS-CoV-2, kata Chung kelmarin.

Beliau turut meminta hospital tempatan menjalankan ujian PCR kepada setiap orang pulang dari kawasan wabak dan menunjukkan gejala batuk atau demam, bertujuan untuk mengelakkan mereka perlu mengunjungi hospital yang berlainan.

Selain itu, mereka yang melakukan perjalanan dari Da Nang sejak 15 Julai masih perlu menjalani ujian PCR walaupun mereka sudah membuat ujian pantas, kata Chung.

Kerajaan juga memperkenalkan denda untuk 13 jenis pelanggaran yang berkaitan dengan pencegahan dan kawalan penyakit, bagi membendung penularan COVID-19.

Terutama, mereka yang tidak memakai penutup mulut dan hidung di tempat awam akan dikenakan denda hingga 300,000 VND (AS$13) manakala yang membuangnya merata-rata bakal didenda maksimum lima juta VND, atau sehingga tujuh juta VND.

Selain itu, mereka yang menyembunyikan status COVID-19 sama ada diri sendiri atau orang lain akan didenda sehingga dua juta VND. – Bernama