INDIANAPOLIS, 23 MEI – Sebuah pesawat tentera yang membawa susu formula yang mencukupi untuk lebih setengah juta anak damit tiba semalam di Indianapolis, dalam salah satu penerbangan pertama dari Eropah bertujuan mengatasi kekurangan kronik yang dialami di AS.
Presiden Joe Biden meluluskan penggunaan kapal terbang Tentera Udara dalam kempen tersebut, diberi nama ‘Operation Fly Formula,’ disebabkan tidak adanya penerbangan komersial yang sedia ada untuk menghantar produk berkenaan.
Susu formula itu mempunyai berat 35,380 kilogram, beritahu setiausaha media Rumah Putih Karine Jean-Pierre kepada wartawan yang menaiki pesawat Air Force One bersama Biden ketika mereka berlepas dari Korea Selatan ke Jepun.
Hantaran itu bertujuan memberikan ‘sedikit kelegaan pada hari-hari akan datang’ ketika kerajaan memikirkan respons yang lebih mampan kepada isu kekurangan bekalan, kata Brian Deese, pengarah Majlis Ekonomi Nasional Rumah Putih semalam.
Deese memberitahu CNN bahawa penerbangan semalam membawa 15 peratus daripada susu formula gred khas yang diperlukan di AS, dan disebabkan pelbagai tindakan yang diambil kerajaan, penduduk akan melihat ‘lebih banyak susu formula di kedai mulai minggu ini.’
Pentadbiran Biden telah bergelut untuk mengatasi kekurangan susu formula di seluruh negara, terutamanya jenis yang tidak menimbulkan alahan. Krisis timbul selepas penutupan kilang pengeluaran domestik terbesar negara di Michigan pada Februari kerana isu keselamatan. – AFP