Saturday, October 5, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Hantu busuk’ di rumah lama

    Oleh Zafira Malika –

    Sebagai seseorang yang selama ini tidak terlalu mempedulikan cerita-cerita seram atau perkara-perkara ghaib, saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan mengalami sendiri kejadian yang sukar dijelaskan oleh akal.

    Kisah ini terjadi beberapa tahun lalu ketika saya dan keluarga berpindah sementara ke sebuah rumah lama yang sudah bertahun-tahun ditinggalkan.

    Sejak dari awal, rumah tersebut kelihatan biasa-biasa sahaja, tiada tanda-tanda yang menunjukkan sebarang kejanggalan, hanya sebuah rumah lama yang sunyi.

    Namun, semuanya mula berubah sebaik sahaja kami menetap di rumah itu.

    Pada malam pertama kami di sana, kami mula menyedari sesuatu yang pelik, bau yang sangat busuk dan menyengat menusuk hidung, seakan-akan bau bangkai yang sudah lama reput. Pada mulanya, saya beranggapan mungkin ada haiwan yang mati di dalam dinding rumah, atau mungkin di bawah lantai kayu yang sudah tua itu.

    Gambar Unsplash

    Saya dan suami berusaha mencari punca bau tersebut, namun tiada sebarang bangkai atau tanda-tanda yang dapat menjelaskan dari mana bau itu datang. Anehnya, bau tersebut hanya muncul pada waktu malam, terutamanya ketika kami berada di dalam bilik tidur utama.

    Setiap kali kami menutup lampu dan cuba untuk tidur, bau busuk itu muncul, semakin lama semakin kuat. Ia terasa begitu dekat, seolah-olah datang dari dalam bilik. Saya cuba mengabaikannya dan terus tidur, walaupun perasaan tidak selesa menyelubungi diri saya.

    Suami saya juga mengeluh tentang bau tersebut, namun kami berdua masih tidak mengambil serius kejadian itu, menganggap ia mungkin masalah sementara yang boleh diselesaikan.

    Malam berikutnya, perkara yang sama berlaku. Kali ini, lebih seram. Ketika saya terjaga di tengah malam, sekitar pukul 2 pagi, saya terasa seolah-olah diperhatikan. Saya membuka mata dan melihat ke arah sudut bilik, dan di situ saya melihat sesuatu yang mengejutkan, di mana kelihatan sesosok bayangan hitam, tinggi dan tidak bergerak, seolah-olah memandang tepat ke arah saya.

    Pada mulanya, saya cuba menyakinkan diri bahawa itu hanya bayang-bayang dari luar, mungkin dari pokok atau sesuatu yang berada di luar tingkap. Tetapi, bayangan itu kelihatan terlalu nyata dan menyeramkan.

    Saya cuba bangun untuk mengejutkan suami, tetapi anehnya, badan saya terasa berat dan kaku. Saya seperti tidak mampu bergerak. Hati saya mula berdebar kencang, dan bau busuk itu kembali, kali ini lebih kuat dari sebelumnya.

    Ia bukan sekadar bau biasa, malah meloyakan dan hampir hendak muntah. Saya hanya mampu berbaring kaku, menahan ketakutan dan menunggu hingga saya dapat bergerak semula.

    Pada keesokan paginya, saya memberitahu suami tentang apa yang saya alami. Saya terkejut apabila dia juga menceritakan pengalaman yang serupa.

    Dia berkata, pada malam yang sama, dia merasakan sesuatu yang aneh, seperti ada yang memerhatikannya dari sudut bilik, tetapi dia tidak nampak apa-apa.

    Suami saya juga mengaku dia merasa tidak selesa dengan bau busuk yang sering muncul, namun tidak tahu bagaimana untuk menjelaskannya.

    Rasa curiga kami kian memuncak. Saya mula berkongsi kisah ini dengan seorang teman yang agak arif dalam hal-hal ghaib. Setelah mendengar cerita kami, dia segera mengesyorkan kami supaya berhati-hati.

    Menurutnya, rumah lama seperti itu berkemungkinan dihuni oleh makhluk halus yang dipanggil ‘hantu busuk’. Makhluk itu dikatakan sering muncul dalam keadaan yang meninggalkan bau busuk yang tidak dapat dijelaskan dan biasanya dikaitkan dengan kejadian-kejadian tragis yang mungkin berlaku di kawasan itu pada masa lampau.

    Walaupun saya tidak sepenuhnya percaya pada cerita-cerita sebegitu, pengalaman kami di rumah tersebut mula mengubah persepsi saya. Setiap malam selepas itu, perkara yang sama berlaku, bau busuk yang semakin kuat, bayangan hitam di sudut bilik dan perasaan seperti diperhatikan.

    Keadaan menjadi semakin tidak tertanggung sehingga kami mengambil keputusan untuk meninggalkan rumah tersebut. Kami berpindah keluar selepas beberapa minggu, dan sehingga hari ini, saya masih tidak mampu merungkai apa yang berlaku di rumah itu.

    Namun, satu perkara yang pasti, pengalaman itu telah membuka mata saya tentang kewujudan perkara-perkara ghaib yang sukar dijelaskan oleh logik manusia. Saya tidak pernah menyangka, saya yang selama ini tidak percaya dengan cerita seram, akan menjadi salah seorang yang mengalaminya sendiri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda