Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hantu raya hostel lelaki

    Oleh Aqilah HMS –

    Petang itu suasana kampus agak lengang. Aku baru selesai kelas pagi, dan ada sela waktu dua jam sebelum kelas seterusnya bermula pada jam 2:30 petang.

    Biasanya, waktu macam ini aku akan balik bilik rehat sekejap atau lepak di kafe bawah fakulti. Tapi entah kenapa hari itu aku rasa macam ingin berjumpa dengan kawan aku, Faiz, yang tinggal di blok lelaki sebelah.

    Kami memang rapat sejak minggu orientasi. Faiz ini jenis tenang, selalu senyum dan tidak banyak cakap. Tapi bila lepak sama, dia jenis yang buat orang rasa selesa. Jadi aku pun berjalan santai ke arah blok hostel lelaki. Waktu itu panas tidak terlalu terik, tapi udara agak lembap. Sunyi.

    Sampai saja di kaki tangga blok, aku nampak Faiz sedang berdiri menghadap ke luar, betul-betul di bawah. Dia pakai baju kelabu, seluar track hitam. Sama macam yang dia pakai masa kelas tadi pagi. Aku pun tersenyum dan menegur, “Weh, Faiz! Kau buat apa di sini?”

    Tapi dia tak jawab. Dia hanya toleh perlahan ke arah aku dan pandang dengan muka kosong, seperti orang sakit, nampak suram.

    Gambar chatGPT

    Aku ketawa kecil, sangka dia bergurau. Tapi sebaik aku nak hampiri dia, dia terus berpaling semula dan jalan ke arah koridor sebelah kiri. Perlahan, tanpa kata. Hairan, tapi aku malas fikir panjang. Mungkin dia letih. Aku pun naik ke tingkat dua, tempat bilik dia.

    Sampai di depan bilik Faiz, aku terus duduk atas bangku kecil yang selalu dia letak di luar pintu. Aku main telefon, menatal TikTok dan WhatsApp sambil tunggu dia balik. Agak pelik juga sebab dia jalan masuk dari bawah tadi tapi tidak naik-naik lagi.

    Kira-kira 15 minit berlalu. Tiba-tiba pintu bilik terbuka dari dalam. Faiz muncul sambil lap rambut dengan tuala.

    Aku tercengang. Dia baru lepas mandi. “Weh… bukan kau baru tadi aku nampak kat bawah ke?”

    Faiz berhenti lap rambut. Dia pandang aku dengan kening berkerut. “Bawah mana?”

    “Dekat tangga, tadi. Kau pakai baju ni juga. Aku tegur, tapi kau tak jawab. Lepas tu kau jalan ke arah lorong belakang.”

    Wajah Faiz berubah pucat. Dia diam. “Serius, Faiz… kau jangan main-main.”

    Dia buka pintu luas dan tarik aku masuk. Dalam bilik, dia tutup pintu, duduk atas katil, dan tarik nafas panjang.

    “Aku… aku memang tidak turun langsung dari pagi tadi. Lepas kelas tadi kita habis, aku terus balik. Mengantuk sangat, aku terus tidur. Baru bangun ni nak mandi.”

    Jantung aku berdegup laju. Aku rasa bulu roma aku meremang.

    Faiz bangun dan selak langsir biliknya. Dari situ boleh nampak koridor belakang blok yang aku kata tadi ‘Faiz’ tu jalan ke sana. Dia diam. Aku pun turut bangun berdiri di sebelahnya.

    Dekat luar sana, memang sunyi. Tapi tiba-tiba kami terdengar bunyi tapak kaki berlari perlahan di atas bumbung. Bumbung yang memang tidak sepatutnya orang boleh pijak.

    Faiz terus pejam mata dan baca sesuatu. Bacaan ayat Kursi, perlahan. Aku mula rasa tidak sedap hati.

    “Kau tahu tak,” Faiz bersuara perlahan, “Ini bukan kali pertama aku dengar benda ikut rupa aku. Dulu masa kat sekolah asrama pun pernah jadi. Kawan aku cakap dia nampak aku dua tempat serentak. Bila aku tanya ustaz, dia kata mungkin aku pernah ‘dibelah dua’ oleh sesuatu.”

    Aku pandang dia tidak berkelip. “Dibelah dua?”

    Faiz angguk. “Hantu raya. Dia tiru rupa tuan dia. Tapi kadang dia tiru rupa orang yang ada aura lemah dan kalau kita perasan, dia takkan pernah menyahut kalau dipanggil dengan nama.”

    Aku teringat. Betul. Tadi masa aku panggil Faiz, dia langsung tidak jawab. Hanya toleh dan mukanya nampak kosong.

    Kami duduk diam untuk beberapa ketika. Di luar, angin mula bertiup kuat. Langsir berkibar walaupun tingkap tertutup dan tiba-tiba, pintu bilik diketuk kuat, tiga kali. DUM. DUM. DUM!

    Aku dan Faiz saling berpandangan. Tiada siapa antara kami yang berani buka pintu.

    “Kau ada janji dengan siapa-siapa nak datang?” aku tanya perlahan.

    Faiz geleng. Ketukan itu berhenti. Tidak lama lepas itu, kami dengar bunyi suara seakan suara aku. “Faiz! Bukaklah aku ada dekat luar ni.”

    Muka Faiz pucat, dahinya berpeluh. “Bukan aku,” aku bisik. “Aku ada dekat sini.”

    Bunyi tapak kaki mula berlari semula, kali ini ‘dia’ seperti berada di luar koridor. Bunyi berlari yang berat, seakan kaki seseorang yang berjalan sambil menyeret rantai.

    “Kalau kau nampak dia lagi lepas ni…” Faiz bersuara sambil pandang aku, “Jangan tegur.”

    Sejak kejadian itu, aku tidak pernah pandang bawah hostel lelaki sama macam dulu. Aku tidak berani naik seorang-seorang lagi.

    Faiz pindah ke blok lain sebulan kemudian. Katanya, ustaz kampung dia suruh jauhkan diri dari tempat asal, takut benda tu masih menumpang.

    Kadang-kadang, bila aku lepak sendiri, aku terfikir jugak, kalau aku tidak ikut naik bilik hari tu, kalau aku terus kejar ‘Faiz’ yang aku nampak di bawah, mungkin aku sudah ikut ke tempat ‘dia’ dan aku takkan balik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda