Wednesday, December 25, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hanya 10 peratus ikan di terumbu karang dilindungi – Kajian

    SYDNEY, 8 OKT – Hanya 10 peratus ikan di terumbu karang di seluruh dunia dilindungi oleh perlindungan alam sekitar, menurut satu kajian baharu yang diterbitkan hari ini.

    Dalam kajian itu, satu pasukan penyelidik antarabangsa yang diketuai oleh Universiti Sydney dan juga sebuah pertubuhan NGO global, Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar mendapati bahawa usaha pemuliharaan antarabangsa menyumbang hanya kira-kira 10 peratus biojisim ikan di terumbu karang pada masa ini.

    Biojisim ikan merujuk kepada jumlah berat semua ikan.

    Pasukan tersebut menganalisis data tinjauan ikan di hampir 2,600 lokasi terumbu dan membandingkan anggaran biojisim mereka dengan perlindungan alam sekitar.

    Joshua Cinner, ketua bersama penyelidikan dan pengarah Thriving Oceans Research Hub di University of Sydney, berkata bahawa meningkatkan perlindungan terumbu akan membantu meningkatkan bekalan ikan di seluruh dunia dan memberi manfaat kepada manusia.

    “Berjuta-juta orang bergantung kepada ikan terumbu untuk mata pencarian dan pemakanan mereka. Bagaimanapun, penangkapan ikan yang berlebihan amat mengancam kesejahteraan komuniti pantai di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan media.

    “Kami mendapati bahawa usaha pemuliharaan telah pun memberi sumbangan kepada jumlah ikan di terumbu karang global. Namun di sisi lain, sumbangan ini kelihatan agak sederhana dan kajian kami menjelaskan betapa banyak ruang perlu penambahbaikan,” Cinner berkata.

    Menurut kajian itu, kawasan perlindungan marin kini meliputi lapan peratus lautan dunia.

    Pada Persidangan Biodiversiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2022, para peserta komited untuk melindungi 30 peratus kawasan daratan, air tawar, pantai dan marin dunia menjelang 2030.

    Cinner berkata kajian baharu itu mendapati dengan meningkatkan liputan global terumbu yang dilindungi sepenuhnya kepada 30 peratus akan meningkatkan stok ikan di terumbu sebanyak 28 peratus.

    Kajian itu juga mengatakan bahawa jika sekatan penangkapan ikan seperti mengharamkan pukat atau senapang tombak dikuatkuasakan di semua terumbu, stok ikan terumbu boleh meningkat sebanyak 10.5 peratus lagi. – Xinhua

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda