Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hanya 13 dari 2,967 kes baharu di Sarawak libatkan jangkitan paru-paru

    KUCHING, 29 SEPT – Hanya 13 daripada 2,967 kes positif COVID-19 di Sarawak hari ini melibatkan jangkitan paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen dan ventilator.

    Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), baki 2,954 kes pula tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri ini kepada 207,137.

    Selain itu, JPBN turut memaklumkan 26 kes kematian direkodkan di Sarawak dari 19 hingga 28 September.

    “JPBN turut memaklumkan terdapat satu kluster komuniti diisytiharkan hari ini iaitu Kluster Giam yang dikesan melibatkan penduduk sebuah perkampungan di Jalan Puncak Borneo, Kuching.

    “Untuk kluster itu, seramai 147 individu didapati positif termasuk kes indeks,” menurut JPBN dalam kenyataan.

    Sementara itu, JPBN memaklumkan orang awam kini boleh membuat ujian saringan COVID-19 menggunakan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen.

    “Sekiranya keputusan ujian positif, mereka perlu melaporkan keputusan dalam aplikasi MySejahtera dan menjalani kuarantin di rumah (Home Surveillance Order akan diberikan melalui MySejahtera secara digital).

    “Seterusnya mereka perlu menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Bahagian mereka,” menurut kenyataan itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda