WASHINGTON, 7 MEI – Presiden Donald Trump berkata kelmarin bahawa tiga tebusan yang ditahan oleh Hamas di Gaza telah mati, meninggalkan hanya 21 yang dipercayai masih hidup.
“Setakat hari ini, 21 (masih hidup), tiga telah mati,” kata Trump mengenai tebusan yang ditahan oleh Hamas, sambil menyatakan sehingga baru-baru ini 24 orang dipercayai masih hidup.
Bagaimanapun, dia tidak menghuraikan identiti mereka yang dipercayai mati, mahupun bagaimana dia mendapat angka tersebut. “Terdapat 21, ditambah dengan banyaknya mayat-mayat lain,” tambah Trump.
Seorang warga Amerika, Edan Alexander, adalah antara 24 tebusan yang dipercayai masih hidup, dengan mayat beberapa warga Amerika lain turut ditahan Hamas selepas serangannya pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel.
Komen presiden itu dibuat ketika Israel meluluskan rancangan Isnin lalu untuk merampas Semenanjung Gaza dan tinggal di wilayah Palestin untuk jangka masa yang tidak ditentukan, dalam usaha untuk memulihkan tebusan dan cuba memenuhi matlamat perangnya untuk memusnahkan Hamas.
Jika dilaksanakan, langkah itu akan meluaskan operasi penjajahan Israel di Gaza dan berkemungkinan menarik bantahan antarabangsa yang lebih hebat.
Dalam acara lain, Jabatan Negara berkata kelmarin bahawa kedutaan Amerika Syarikat (AS) telah membantu 17 warga AS dan penduduk tetap yang sah meninggalkan Gaza pada Isnin lalu. – AP
