PUTRAJAYA, 26 APRIL – Hanya 400 rakyat Malaysia dari Singapura akan diterima masuk ke dalam negara setiap hari melalui kedua-dua pintu masuk, iaitu Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, umum Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata perkara berkenaan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negeri Johor dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi melancarkan pergerakan masuk mereka yang terkandas di negara berkenaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa.
Mereka yang berhasrat pulang juga dikehendaki mendapatkan permit masuk daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara berkenaan yang perlu dimohon melalui e-mel stmsg@mhc.org.sg, sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh pulang.
“Permohonan ini telahpun dibuka dan pihak Suruhanjaya Tinggi telah menerima 900 permohonan setakat ini daripada rakyat Malaysia yang berada di republik itu,” katanya pada sidang media harian mengenai PKP di sini, hari ini. – Bernama
Ismail Sabri berkata sepertimana Prosedur Operasi Standard biasa, mereka yang pulang dari Singapura ini akan dikenakan kuarantin selama 14 hari. – Bernama