Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Hanya 60 peratus hasrat tercapai setakat ini’

    KUALA LUMPUR, 27 DIS – Ketua jurulatih beregu lelaki Malaysia, Tan Bin Shen, telah mencapai 60 peratus impian peribadinya sejak mula membimbing pemain dalam sektor tersebut pada Disember 2020.

    Bin Shen, yang bakal meletakkan jawatannya pada 13 Januari ini, berkata bahawa 40 peratus lagi hasratnya belum tercapai, termasuk tidak berjaya mengemudi bekas juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, untuk meraih pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.

    “Sudah tentu, apabila menyertai BAM (Persatuan Badminton Malaysia), saya mempunyai sasaran sendiri, banyak antaranya di Sukan Olimpik 2024, namun emas masih belum tercapai.

    “Bagi saya, Sukan Olimpik 2024 menjadi antara yang paling berharga kerana ini kali pertama saya ke sana. Saya dapat rasakan ramai yang berharap agar beregu lelaki (Aaron-Wooi Yik) meraih emas, tetapi mereka hanya berjaya sampai separuh akhir,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan, hari ini.

    Aaron-Wooi Yik kemudian menampilkan semangat juang tinggi apabila bangkit mempertahankan pingat gangsa Sukan Olimpik dengan menumpaskan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, 16-21, 22-20, 21-19.

    Bin Shen pada masa yang sama berpuas hati dapat melihat peningkatan prestasi pemain beregu lelaki Malaysia sepanjang mereka berada di bawah naungannya, termasuk Muhammad Haikal Nazri dan Wan Arif Wan Junaidi yang telah meraih kejayaan di beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini.

    Jurulatih berusia 40 tahun itu turut berharap agar anak buahnya dapat memberi hadiah perpisahan dengan merangkul gelaran Terbuka Malaysia 2025, yang dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 12 Januari depan. Kejohanan tersebut merupakan tugasan terakhirnya sebelum beliau menyertai skuad badminton Hong Kong pada Februari depan.

    Mengenai tugasannya di Hong Kong, Bin Shen berkata beliau diberi kontrak selama dua tahun untuk menjadi jurulatih skuad beregu mereka, termasuk menyelia beregu wanita dan campuran. – Bernama

    Bin Shen semasa ditemui media selepas sesi latihan skuad badminton kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada 27 Disember. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda