ROM, 14 JULAI — Rakyat Itali menggunakan media sosial untuk mengecam keputusan mahkamah yang membebaskan seorang penjaga sekolah daripada tuduhan serangan seksual kerana meraba seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun dengan alasan ia hanya berlaku ‘sekitar lima atau 10 saat’.
Remaja tersebut berkata lelaki itu mendekatinya dari belakang ketika dia sedang menarik seluar sambil berjalan menaiki tangga di sebuah sekolah menengah di Rom, dan menyelitkan tangannya di bawah seluar dalamnya, menurut dokumen mahkamah.
Sambil menarik seluar dalam, lelaki itu kemudian mengangkatnya sedikit ke udara.
Lelaki itu mengaku merabarabanya dalam insiden pada April 2022 tetapi mendakwa ia adalah satu gurauan.
Mahkamah di Rom memutuskan minggu lalu bahawa perbuatan meraba-raba itu hanya berlaku ‘beberapa saat’ dan bukanlah perbuatan seksual, dan bahawa ia begitu singkat sehingga hujahnya bahawa itu hanya jenaka adalah meyakinkan walaupun ‘tidak kena pada waktunya’.
Pelakon dan pelawak, Paolo Camilli yang muncul dalam The White Lotus, memuat naik video di TikTok minggu ini sambil meraba-raba dadanya di hadapan kamera sambil kronometer mengira detik 10 saat. “Jika ini bukan pencabulan, saya tidak tahu apa itu,” katanya.
Video itu telah mencetuskan tindak balas dengan lelaki dan wanita yang lain turut meraba-raba dada mereka dengan kiraan detik 10 saat.
Video lain termasuk seorang wanita meminta maaf kepada seorang lelaki yang telah memegang bahagian belakangnya selepas lelaki itu mengatakan dia menyentuhnya kurang daripada 10 saat, oleh itu tidak dikira sebagai melakukan jenayah. – AP


