Monday, February 10, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hanya berharap tahun yang aman, sihat

    BEIJING – Daripada persembahan kemenyan dan tarian singa yang meriah di Beijing hingga upacara sembahyang di kuil di Bangkok dan Taipei, ratusan juta orang di seluruh Asia menyambut Tahun Ular sempena Tahun Baharu Cina pada Rabu lalu.

    Di China, orang ramai menikmati lapan cuti umum berturut-turut untuk Festival Musim Bunga 2025, peluang untuk berkongsi makanan, menghadiri persembahan tradisional dan menyalakan bunga api.

    Stesen kereta api dan lapangan terbang di seluruh negara telah sesak selama berminggu-minggu apabila berjuta-juta orang pulang ke rumah untuk menghabiskan percutian bersama orang tersayang dalam penghijrahan tahunan yang dijangka menjadi rekod.

    Kuil-kuil dan taman-taman di ibu negara China pada hari pertama penuh dengan orang ramai yang mengharungi cuaca sejuk untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Tahun Naga dengan tarian dan doa.

    Jalan raya, pusat beli-belah, pejabat dan rumah dihiasi dengan kain rentang merah perayaan – dipercayai untuk menghalau kejahatan – di banyak bahagian Asia Timur dan Tenggara, termasuk Korea Selatan, Singapura, Vietnam dan Thailand.

    Orang ramai menyaksikan tarian singa di perkarangan kuil pada hari ketiga Tahun Baharu Cina di Beijing. – AFP
    Gambar AFP
    Orang ramai menyaksikan persembahan tarian singa di Chinatown Surabaya, Indonesia. – AFP
    Penari singa membuat persembahan di sebatang jalan diiringi mercun di Chinatown, Manila. – AFP
    Penari naga dan singa meraikan Tahun Baharu Cina di jalan raya Chinatown di Manila. – AFP
    Seorang penari singa membuat persembahan di Chinatown Yokohama, Jepun. – AFP
    Sambutan Tahun Baharu Cina dengan tarian singa di Bangkok. – AFP

    Di Taiwan, orang ramai dari semua peringkat umur masuk ke kuil untuk membuat persembahan buah-buahan, gula-gula, keropok dan kacang.

    “Tradisi kami adalah melawat kuil dan berdoa, untuk nasib yang lebih baik untuk tahun ini,” kata Chen Ching-yuan, 36, ketika dia mengunjungi Kuil Longshan di Taipei bersama ibunya.

    “Tidak perlu meminta sesuatu yang khusus, cuma doakan tahun yang lancar, aman, selamat dan sihat, dan berdoa agar semuanya berjalan lancar.”

    Beberapa pengunjung kuil menyambut tahun baharu dengan berlumba-lumba untuk menjadi orang pertama membakar kemenyan dalam usaha memperoleh nasib baik.

    “Saya tidak mahu melihat ke belakang dengan penyesalan apabila saya sudah tua, jadi saya memutuskan untuk melakukannya,” kata Kao Meng-shun dari Kuil Fusing di Daerah Yunlin, di tengah-barat Taiwan.

    Di Bangkok, penduduk tempatan dan pelancong datang berduyun-duyun ke Wat Mangkon Kamalawat, kuil Cina yang paling popular di ibu negara.

    Sasakorn Udomrat, 56, telah datang ke kuil itu selama lapan tahun berturut-turut.

    “Saya mempunyai ramai rakan Thai-Cina yang mengatakan kuil ini sangat suci,” katanya.

    “Saya tidak meminta apa-apa khususnya, hanya kesihatan yang baik.”

    Seorang lagi pengunjung, Nawarat Yaowanin, 42, memberitahu AFP: “Menurut kalendar Cina, ia adalah tahun yang bergolak untuk saya,” katanya.

    “Saya datang ke sini untuk memberi penghormatan dan berharap dapat mengelak nasib malang.”

    Orang ramai juga memenuhi jalanan di ibu negara Filipina dan Indonesia untuk perarakan tarian singa yang meriah.

    SALJI MELAMBATKAN PERJALANAN

    Dalam tempoh 40 hari tradisional yang berlangsung sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baharu Cina di tanah besar China, kira-kira sembilan bilion perjalanan penumpang antara wilayah bagi semua jenis pengangkutan dijangka dilakukan.

    Di Korea Selatan, salji lebat menyebabkan gangguan dalam jadual kereta api, kapal terbang dan bas di seluruh negara, ketika orang ramai menziarahi keluarga mereka minggu ini.

    Imej yang dikeluarkan media tempatan menunjukkan kenderaan yang dilitupi salji tersadai di lebuh raya utama Korea Selatan ketika angin kencang dan salji berterusan.

    Ramai yang lain memilih untuk menghabiskan masa cuti di luar negara.

    Pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon mengumumkan bahawa ia menjangkakan lebih 2.1 juta penumpang ke luar negara sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

    “Ia diunjurkan purata jumlah penumpang harian tertinggi semasa cuti Tahun Baharu Cina sejak lapangan terbang dibuka (pada 2001),” kata pengendali itu dalam satu kenyataan.

    Perayaan itu juga dilanjutkan ke angkasa lepas, dengan angkasawan China Cai Xuzhe, Song Lingdong dan Wang Haoze menghantar ucapan Malam Tahun Baharu dari stesen angkasa Tiangong.

    Dalam video yang dikeluarkan oleh Agensi Angkasa Lepas Berawak China (CMSA), ketiga-tiga mereka boleh dilihat berpakaian dalam jumpsut biru dengan corak awan merah tradisional, memegang dua keping kertas yang memaparkan huruf Cina ‘fu’, untuk nasib baik.

    “Pada tahun baharu, semoga semua impian awda menjadi kenyataan,” kata Wang, memberikan bentuk hati di atas kepalanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda