Wajahnya tidak lagi setenang dulu. Senyuman yang pernah menjadi lambang kebahagiaan kini tampak tawar, seolah disembunyikan di sebalik mata yang sarat dengan seribu satu rasa.
Begitulah keadaan Kamal Adli, pelakon yang kini berdepan badai rumah tangga bersama isteri tercinta, Uqasha Senrose, lapor mStar.
Biar langkahnya tampak tegap dan tutur katanya masih tenang, namun jauh di sudut hati, hanya Tuhan yang tahu betapa hancurnya jiwa seorang lelaki yang masih sarat dengan kasih dan harapan.
Kamal mengakui, bukan mudah menjadi lelaki dalam situasi begini. Ada waktu air mata hampir menitis, namun ego dan tanggungjawab sebagai suami membuatnya menguatkan diri.
Dia belajar untuk kembali kepada fitrah iaitu dengan memohon, mengadu dan menyerahkan segala takdir kepada Yang Maha Mengetahui.
“Sebenarnya tak ada tempat untuk saya mengadu atau bercerita tentang masalah dihadapi sekarang. Jadi, saya hanya luahkan semuanya kepada Allah.
“Betul, saya tak reka atau nak nampak drama, tapi sejak kecil mak ayah saya dah ajar apa pun yang kita rasa, cerita pada Allah dulu sebab hanya Dia yang faham.
“Itu yang saya amalkan sekarang. Sebab itu saya lebih memilih untuk diam, tak perlu buka aib atau burukkan sesiapa pun.
“Saya cuma harap orang di luar sana doakan yang terbaik untuk kami,” katanya ditemui pada sidang media drama Bahagia Yang Tertangguh di DADI Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, kelmarin.
Drama yang turut menampilkan lakonan hebat Nad Zainal, Izzue Islam dan Rozita Che Wan itu bakal disiarkan di saluran Astro Ria mulai 17 November ini.
Walaupun ujian rumah tangga yang dihadapinya bukan mudah, Kamal memilih untuk melihat dugaan itu sebagai cara Allah mendidik hati agar lebih kuat dan matang.
Terdahulu krisis rumah tangga Kamal dan Uqasha sampai ke kemuncak apabila Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen, 33, memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 1 Oktober lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis pernikahan di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira, kini berusia 19 bulan. – Agensi


