Hanya kerana ubat gigi

BERLIN, 15 MEI – Pengendali Augsburg, Heiko Herrlich tidak akan bersama pasukannya apabila Bundesliga bersambung hujung minggu ini selepas melanggar arahan kuarantin dengan keluar membeli ubat gigi.

Herrlich, 48, sepatutnya membuat penampilan sulung sebagai pengendali kelab bergelut Bundesliga itu – menentang Wolfsburg selepas dua bulan aktiviti sukan tertangguh berikutan dengan penularan pandemik COVID-19.

“Saya melakukan kesilapan dengan meninggalkan hotel. Dalam situasi ini saya tidak menjadi contoh yang baik untuk pasukan dan masyarakat,” kata Herrlich yang keluar ke pasar raya bagi membeli ubat gigi dan krim kulit.

Herrlich, yang pernah menjalani rawatan untuk ketumbuhan otak pada tahun 2000, kesal dengan tindakan yang dilakukannya itu.

“Saya melakukan kesilapan kerana meninggalkan hotel. Walaupun saya mengikuti langkah-langkah keselamatan dan kesihatan ketika urusan itu, saya tidak dapat memperbetulkannya.

“Kerana kesalahan ini, saya tidak akan membimbing sesi latihan esok (hari ini) dan tidak akan berada di tepi padang ketika pasukan menentang Wolfsburg pada Sabtu,” katanya.
Bekas pemain Jerman itu mengambil alih tugas Martin Schmidt awal tahun ini, mengikat kontrak sehingga tahun 2022.

Augsburg hanya lima mata di atas garis selamat.

Bekas penyerang Dortmund itu sebelum ini membimbing Bayer Leverkusen. – AFP

Gambar fail menunjukkan Heiko Herrlich ketika menyaksikan satu perlawanan di Leverkusen, Jerman. Herrlich tidak akan bersama pasukannya apabila Bundesliga bersambung hujung minggu ini selepas melanggar arahan kuarantin dengan keluar membeli ubat gigi. – AP