Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Gara-gara upah $150, seorang lelaki dijatuhi hukuman denda $1,800,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki 2,192 karton rokok seludup.
Hukuman terhadap Abdullah bin Haji Garip, 42, diputuskan Majistret Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim yang turut memerintahkan hukuman tiga tahun penjara dijalankan segera jika gagal membayar denda.
Tertuduh yang tidak bekerja didakwa memiliki barang tegahan itu di dalam keretanya.
Dalam kejadian pada 5 Disember 2019 sekitar jam 3:50 pagi, polis cuba menahan sebuah kereta yang mencurigakan di Pos Polis Kampung Bebuloh namun kereta itu berundur dan jatuh ke longkang tepi jalan.
Pemandu kereta iaitu tertuduh kemudian ditahan dan siasatan yang dilakukan ke atas keretanya menemukan sejumlah kotak yang mengandungi rokok.
Tertuduh dibawa ke Balai Polis Limau Manis untuk siasatan sebelum kesnya diserahkan kepada bahagian penguatkuasaan kastam.
Tertuduh ketika disoal siasat mendakwa ‘ditawarkan’ untuk menghantar rokok-rokok itu kepada seorang yang bernama ‘Berry’.
Pegawai pendakwa kastam memaklumkan mahkamah bahawa duti eksais untuk rokok-rokok itu ialah $219,200 dan turut membuat permohonan untuk kesemua rokok dalam notis rampasan diserahkan kepada kerajaan untuk dimusnahkan.