Gambar oleh AP
MOGADISHU, SOMALIA — Bulan Ramadan tahun ini kebetulan jatuh pada musim kemarau terpanjang yang pernah direkodkan di Somalia. Ketika matahari terbenam dan umat Islam di seluruh dunia berkumpul untuk berbuka puasa dengan makan malam yang mewah, Hadiiq Abdulle Mohamed dan keluarganya hanya mampu berbuka puasa dengan air dan apa sahaja makanan yang mungkin ada di tangan.
Hadiiq merupakan salah seorang daripada lebih satu juta warga Somalia yang telah melarikan diri dari rumah mereka untuk mencari bantuan, di mana sekitar 43,000 orang telah meninggal dunia tahun lalu. Dia, suaminya dan enam anak mereka kini mencari perlindungan di salah sebuah kem perpindahan yang semakin bertambah di sekitar ibu kota, Mogadishu.
Ramadan telah mengakibatkan kenaikan harga makanan untuk sebuah negara yang sedang berjuang dengan inflasi yang sebahagiannya disebabkan oleh operasi Rusia ke atas Ukraine dan kematian tanaman tempatan akibat lima musim hujan yang gagal berturut-turut. Berjuta-juta haiwan ternakan yang menjadi makanan utama penduduk di sini juga telah mati.
Terpaksa bergantung harap
Kini, makanan semakin sukar didapati bagi mereka yang hilang tempat tinggal. Sepanjang Ramadan, Hadiiq dan keluarganya bergantung pada orang yang baik hati untuk menyediakan hidangan tunggal mereka pada hari berkenaan. Pertama, mereka akan berbuka puasa dengan air dan potongan kurma, diikuti dengan satu senduk nasi. Akhirnya, mereka makan hidangan yang disumbangkan, iaitu nasi yang dimasak dengan daging campuran, pisang yang lebam, dan satu kantung plastik kecil berisi jus, yang Hadiiq menunggu berjam-jam di bawah sinar matahari yang terik untuk mendapatkannya.
“Saya terkenang kembali puasa Ramadan yang kami jalani pada masa lalu ketika kami senang dan makmur,” katanya. “Kami akan memerah susu kambing, memasak ugali (bubur jagung) dan sayur sawi, serta minum air dari tempat tadahan kami. Namun, tahun ini kami tinggal di kem, tanpa plastik untuk melindungi kami dari hujan, tanpa makanan untuk dimakan, haus, dan mengharungi musim kemarau. Dengan hidangan panas yang sedikit ini, apakah awda fikir semua ini cukup untuk menampung keluarga yang terdiri dari enam anak, seorang ibu dan ayah? Tidak mungkin.”
Keluarga tersebut dulunya hidup makmur dan memiliki tanah pertanian serta kambing di sebuah kampung kira-kira 140 kilometer di barat ibu negara. Kini, mereka berusaha hidup dengan sedikit wang yang suaminya dapat dengan membawa barang-barang dalam kereta sorong. Tetapi harga makanan sudah melambung tinggi sehingga pendapatannya tidak lagi mencukupi untuk membeli beras seberat satu kilogram.
Semua tak terkecuali
Inflasi di Somalia juga memberi kesan terhadap golongan yang berkemampuan. Makanan berbuka puasa biasanya termasuk samosa dan snek lain; jus, teh dan kopi; hidangan utama seperti nasi, spageti atau roti leper dengan daging unta, kambing, ayam atau ikan; dan akhir sekali, pencuci mulut.
Negara Horn of Africa ini mengimport majoriti makanannya, dari gandum yang ditanam di Ukraine hingga botol Mountain Dew yang dijual di kedai-kedai di Mogadishu. Sementara itu, harga barangan asas seperti beras dan minyak masak terus meningkat di beberapa kawasan di negara itu.
Bulan ini, pemantauan Program Makanan Sedunia melaporkan bahawa ketahanan rantaian bekalan adalah baik secara amnya di Somalia, tetapi peningkatan permintaan pada Ramadan akan merugikan isi rumah yang mudah terjejas yang bergantung pada pasaran tempatan.
“Kami benar-benar mengalami kenaikan harga makanan dan barangan keperluan asas yang lain,” kata Ahmed Khadar Abdi Jama, pensyarah ekonomi di Universiti Somalia.
“Setiap kali ada faktor luar yang boleh mengurangkan bekalan makanan, seperti konflik Rusia-Ukraine, kemungkinan besar rakyat Somalia akan terkesan dengan bekalan yang rendah.”
Sebagai contoh, satu kilogram daging unta yang kosnya kira-kira AS$4 sebelum bulan Ramadan sekarang meningkat kepada sekitar AS$6. Namun inflasi ini akan surut selepas bulan ini berakhir, kata Khadar. – AP