Wednesday, December 25, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hanya satu kes kematian akibat strok haba di Kelantan

    KUALA LUMPUR, 28 APRIL – Hanya satu kes kematian akibat strok haba di Kelantan melibatkan kanak-kanak berusia 11 tahun manakala kematian anak damit berusia 19 bulan di negeri itu bukan disebabkan strok haba seperti dilaporkan media, demikian menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata hasil siasatan awal pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mendapati penyebab kematian kanak-kanak berusia 11 tahun adalah heat stroke with severe dehydration.

    ”Kematian anak damit berusia 19 bulan pula disebabkan severe dehydration with underlying sepsis dan bukan disebabkan strok haba sebagaimana laporan media,” katanya, dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Menurut beliau, sehingga hari ini terdapat lima kes penyakit berkaitan cuaca panas dilaporkan dengan tiga kes dilaporkan di Sarawak melibatkan dua kes kekejangan haba dan satu kes kelesuan haba.

    Dr Muhammad Radzi berkata pendedahan kepada cuaca panas dalam tempoh lama dan kurang minum air boleh memudaratkan kesihatan terutamanya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, golongan warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

    Beliau berkata gejala penyakit akibat cuaca panas melampau adalah sakit kepala, keletihan, kurang tumpuan, pening, lemah-lemah otot atau kekejangan, rasa mual dan keadaan yang terlalu teruk boleh mengakibatkan dehidrasi, kekeliruan dan tidak sedarkan diri atau koma.

    Justeru, beliau mengingatkan orang ramai terutamanya mereka yang menyambut perayaan Aidilfitri atau bercuti ketika cuaca panas ini supaya mengambil langkah pencegahan termasuk merancang aktiviti beraya atau ziarah dan elakkan waktu puncak cuaca panas antara jam 11 pagi hingga 4 petang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda