TOKYO, 6 JULAI – Peminat kemungkinan dilarang masuk untuk menyaksikan acara pembukaan rasmi temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 berikutan kebimbangan pandemik COVID-19.
Bagaimanapun golongan kenamaan (VIP) yang dikurangkan jumlahnya serta pegawai Olimpik akan dibenarkan menghadiri acara itu, demikian menurut laporan akhbar Jepun.
Wakil Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), tetamu kehormat dari luar negara, penaja dan yang berkaitan dengan temasya itu akan dibenarkan memasuki Stadium Nasional untuk menyaksikan acara pembukaan rasmi pada 23 Julai, kata akhbar Asahi Shimbun hari ini. Namun, di bawah perancangan yang masih dalam perbincangan, penyokong tidak akan dibenarkan menghadiri acara pembukaan kerana penaja mengehadkan jumlah kehadiran berikutan kebimbangan peningkatan kes COVID-19 di Tokyo.
Bagaimanapun laporan lain yang diperoleh menerusi sumber pihak kerajaan berkata, penganjur sedang berusaha mengurangkan kemasukan kepada hanya 10,000 ‘anggota keluarga Olimpik’ bagi membolehkan ia diterima oleh rakyat Jepun. “Sesetengah pegawai kerajaan bimbang bahawa orang ramai tidak akan menerima layanan istimewa diberikan kepada pihak tertentu,” jelas laporan itu.
Penganjur temasya bulan lalu membenarkan kemasukan maksimum 10,000 penyokong domestik. Peminat dari luar negara telah pun tidak dibenarkan.”
Bagaimanapun peningkatan kes jangkitan mendorong penganjur untuk memikirkan semula langkah itu dengan presiden temasya, Seiko Hashimoto pada minggu lalu memberi amaran baahwa Sukan Olimpik secara tertutup adalah pilihan utama ketika ini.
Kerajaan minggu ini diharapkan dapat melanjutkan langkah pengawalan virus di Tokyo dan di tempat lain, dengan keputusan mengenai peminat Olimpik bakal menyusuli.
Penganjur mempertimbangkan untuk melarang penonton daripada acara di tempat yang lebih besar dan pada waktu petang, kata akhbar itu.
COVID-19 di Jepun tidak begitu parah seperti di beberapa negara lain, dengan sekitar 14,800 kematian, tetapi paka berkata satu lagi gelombang dapat menjejaskan perkhidmatan perubatan ketika Olimpik bermula. – AFP
