Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Seramai kira-kira 20 orang ahli Hapkido Brunei Darussalam termasuk ahli jawatankuasa dan ahli-ahli lain menghadiri Mesyuarat Agung Pertama Hapkido Brunei Darussalam yang berlangsung di Pekan Belait, baru-baru ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Penasihat Hapkido Brunei Darussalam, Pow Yin Khong, di mana mesyuarat itu merupakan pelancaran rasmi misi Hapkido Brunei Darussalam dalam menyatukan para ahlinya serta membina masa depan yang lebih baik untuk hapkido di Negara Brunei Darussalam.
Ia juga dihasratkan untuk merapatkan hubungan bersama masyarakat yang lebih berdisiplin melalui tradisi seni mempertahankan diri Korea. Dengan pelancaran mesyuarat berkenaan, ia menjadi satu landasan dalam memperkenalkan visi serta misi dan menarik lebih ramai lagi peminat seni mempertahankan diri untuk menyertai Hapkido Brunei Darussalam.
Pada masa yang sama, Hapkido Brunei Darussalam turut menyatakan ia telah beberapa kali menyertai pertandingan hapkido di peringkat antarabangsa.
Antara agenda yang diketengahkan dalam mesyuarat berkenaan ialah merancang dan menghalusi aktiviti Hapkido Brunei Darussalam serta memberikan gambaran yang lebih jelas terutama kepada ahli baharu mengenai hala tuju Hapkido Brunei Darussalam.
Sementara itu, Pow Yin Khong juga selaku pengasas berharap sokongan berterusan daripada semua ahli dalam sama-sama menggerakkan Hapkido Brunei Darussalam.


