Oleh Nurdiyanah R.
Seperti kata peribahasa, ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’ yang sering disebut dan digunapakai oleh masyarakat amnya, lebih-lebih lagi apabila berbicara tentang kesedaran menjaga kesihatan agar dijauhi daripada segala penyakit.
Sesungguhnya nikmat kesihatan itu merupakan anugerah Allah SWT yang wajib kita syukuri dengan menjaga kesihatan tubuh badan secara menyeluruh dan mengamalkan gaya hidup yang baik.
Dengan nikmat kesihatan itu, kita dapat menunaikan kewajipan dengan aman sejahtera dan melaksanakan amal ibadah dengan khusyuk. Justeru, memandangkan betapa tinggi nilai kesihatan ini maka adalah menjadi kewajipan kita untuk sentiasa menjaganya.
Apa itu HIV dan AIDS?
Menyebut mengenai Human Immunodeficiency Virus (HIV) adalah sejenis virus yang boleh memusnahkan sistem ketahanan tubuh badan seseorang sehingga menyebabkannya mudah mendapat Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS). AIDS merupakan peringkat terakhir jangkitan HIV iaitu di mana sistem daya ketahanan badan melawan jangkitan telah dilumpuhkan dan pelbagai tanda dan gejala penyakit antaranya kayap, jangkitan paru-paru, dan kanser akan wujud dan berakhir dengan kematian.
HIV dan AIDS boleh berjangkit salah satunya melalui penerimaan darah yang telah dicemari atau hasilan darah daripada orang yang telah dijangkiti HIV atau AIDS seperti semasa pemindahan darah, pada jarum suntikan atau alat-alat penembus kulit seperti alat tindik telinga.
Begitu juga jangkitan HIV dan AIDS ini boleh terjadi apabila berlakunya perkongsian jarum suntikan yang telah digunakan oleh penghidap HIV atau AIDS sebagai contoh penagih dadah, mereka menggunakan atau berkongsi jarum suntikan yang telah digunakan oleh penagih lain. Akibat dari pemindahan darah yang berlaku dan ia boleh menyebabkan virus HIV memasuki badan mereka melalui jarum suntikan tersebut.
Selain itu, HIV dan AIDS ini juga boleh berpunca dari ibu mengandung yang menghidapi HIV atau AIDS sehingga memberi kesan kepada anak dalam kandungan dan juga mungkin menjangkiti anak damit semasa atau selepas bersalin atau pun semasa penyusuan. Jangkitan juga boleh terjadi melalui hubungan kelamin di mana apabila seseorang melakukan hubungan kelamin lebih dari satu orang pasangan yang mana hakikatnya kita tidak mengetahui akan keadaan seseorang itu sihat atau pun sebaliknya.
Apabila kita mengimbas kembali perkongsian daripada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa pelancaran Program Saringan HIV di Klinik Swasta pada sidang media sempena Sambutan Hari AIDS Sedunia 2020 yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan sekitar 3 Disember tahun lepas, seramai 289 orang telah disahkan dijangkiti HIV di kalangan warganegara dan penduduk tetap sejak dari tahun 1986 sehingga menjelang akhir tahun 2019, di mana daripada jumlah tersebut, seramai 218 orang (75 peratus) masih hidup dengan HIV.
Sementara jumlah kes tertinggi dilaporkan adalah pada tahun 2019 iaitu sebanyak 42 kes, yang mana 98 peratus adalah terdiri daripada kaum lelaki dan majoriti daripada kes adalah mereka yang dalam lingkungan usia 20 hingga 34 tahun.
Dalam usaha mengurangkan dan membanteras jangkitan HIV dan AIDS, semua pihak berkepentingan termasuk agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan berserta kumpulan-kumpulan masyarakat dan akar umbi perlu bekerjasama dan memberi dorongan dan dukungan sepenuhnya tanpa adanya diskriminasi dan dilaksanakan secara terpelihara dan sulit atau confidential agar penyakit ini tidak terus menjadi pembunuh senyap. Oleh itu, pendidikan awal bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap HIV dan AIDS amat penting supaya langkah pencegahan dapat diambil dari semasa ke semasa.
BDAC ‘penyinar’ kesedaran masyarakat
Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAC) sebagai salah satu badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang ditubuhkan sejak tahun 2000 terus memainkan peranannya umpama ‘penyinar’ bagi membuka minda sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat tentang HIV dan AIDS di negara ini serta bertanggungjawab untuk mendidik orang ramai mengenai isu-isu berkaitan dengan jangkitan seksual, kehamilan remaja dan isu sosial.
BDAC menggunakan pelbagai pendekatan untuk mencapai objektif mereka, antaranya program outreach, kerja sukarela, kerjasama dengan agensi-agensi lainnya, program kerjasama belia dan masyarakat serta sebagainya. Antara aktiviti-aktiviti yang dimuatkan dalam program-program berkenaan seperti acara suai kenal, kuiz HIV, penerangan-penerangan mengenai HIV dan AIDS, statistik dunia dan negara, stigma dan diskriminasi serta penyakit kelamin atau kehamilan remaja dan nilai-nilai kekeluargaan.
Dalam pada itu, ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap HIV dan AIDS, mendorong perubahan sikap, membantu kumpulan sasaran membuat pilihan bijak dan rasional dalam isu-isu berkaitan pergaulan bebas, penyakit kelamin dan kehamilan remaja serta menyebarkan pengetahuan peserta kepada teman sebaya.
Antara pencapaian yang diperoleh oleh BDAC ialah Anugerah Persatuan Belia 2013 sempena Hari Belia Kebangsaan, Anugerah 10 Organisasi Belia Berjaya ASEAN 2011 dan Anugerah Belia ASEAN 2009 semasa Majlis Perhimpunan Mesyuarat Hari Belia ASEAN di Myanmar.
Program HAPPY sentiasa proaktif
Sehubungan dengan itu, dengan matlamat untuk menyebarluaskan lagi maklumat mengenai kesedaran HIV dan AIDS dalam kalangan masyarakat tanah air kita, salah satu program kesedaran yang dikenali sebagai HIV Awareness Programme for Peers and Youth (HAPPY) turut diungkayahkan oleh BDAC secara proaktif dan progresif.
Menurut penyelaras Program HAPPY, Dayang Siti Kailene binti Mohd Jazlan Kashfi semasa ditemui baru-baru ini, menjelaskan adapun program yang dikendalikan di keempat-empat daerah itu, bukan sahaja menyentuh mengenai HIV dan AIDS tetapi juga memberikan kesedaran mengenai kehamilan di kalangan remaja dan juga isu-isu sosial.
“Alhamdulillah, sejak program ini dilaksanakan, setakat ini kami telah mencapai kira-kira 10,000 orang peserta terdiri dari golongan pelajar bermula dari sekolah rendah sehingga peringkat institusi pengajian tinggi serta beberapa agensi lain di keempat-empat daerah secara keseluruhan.
“Sememangnya program kesedaran bukan hanya tertumpu kepada golongan rakan sebaya dan belia namun kami juga sedaya upaya untuk melaratkannya ke seluruh lapisan peringkat usia yang lain yang mana kebiasaannya, program ini dijalankan sekurang-kurangnya dua minggu sekali,” ujarnya lagi.
Beliau yang juga merupakan penerima anugerah bagi Kategori Anugerah Projek Cemerlang untuk Belia bagi tahun 2021 semasa berlangsungnya Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) ke-16 pada bulan Ogos lalu turut menyatakan program yang kebiasaan berlangsung selama dua jam bagi setiap sesi yang dilaksanakan itu menggabungkan elemen audio dan visual serta kegiatan-kegiatan interaktif untuk menyampaikan mesej kesedaran di kalangan peserta. Perisian serta mesej yang disampaikan semasa program itu juga telah disesuaikan dengan latar belakang tempatan atau konteks Brunei Darussalam.
“Semestinya, kami merancang untuk lebih giat menyampaikan isu kesedaran HIV dan AIDS ini kepada seluruh masyarakat di negara ini seperti golongan beruniform dan juga golongan mahasiswa dan mahasiswi tanah air kita, bukan hanya setakat mereka yang berada di peringkat sekolah rendah dan menengah malah keseluruhannya, itulah harapan kami dari semasa ke semasa,” ucapnya semasa mengakhiri pertemuan bersama Media Permata, baru-baru ini.
Setakat dari Januari hingga April 2021, sebanyak 11 sesi program HAPPY telah dilaksanakan di tujuh buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Awang Semaun, Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah , Sekolah Menengah Berakas, Pusat Tingkatan Enam Meragang, Sekolah Menengah Chung Ching dan Sekolah Menengah St James.
Dengan adanya program sedemikian adalah menjadi harapan tulus secara berterusan untuk membantu mengurangkan kadar kehamilan remaja dan jangkitan penyakit hubungan kelamin dalam kalangan belia dan seluruh lapisan masyarakat amnya dan sekali gus dapat memben dung isu-isu sosial yang menyumbang kepada peningkatan kes di negara kita.
Bersama-samalah kita bersatu menyampaikan mesej-mesej positif seiring dengan memainkan peranan dan konsep kekeluargaan, persaudaraan dan persahabatan yang sentiasa dihiasi dengan nilai kasih sayang, penjagaan dan perhatian dengan sebaik-baiknya kepada insan-insan di sekeliling kita agar dijauhi dari anasir-anasir yang tidak diingini.