Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hapus stigma terhadap TVET, fokus kepada kemahiran bernilai tinggi

    KUALA LUMPUR – Stigma terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi datang daripada pelajar, sebaliknya ibu bapa dan pihak pembuat keputusan lain yang kini perlu mengubah minda sekali gus melihat bidang tersebut setaraf dengan pendidikan tinggi lain.

    Dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama, Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P. Sri Ganes berkata TVET menawarkan laluan bernilai bukan sahaja untuk lepasan sekolah malah golongan separuh profesional yang ingin meningkatkan kemahiran serta pesara khususnya, memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah menjadi masyarakat menua.

    “TVET setanding dengan pendidikan tinggi lain. Pembuat keputusan perlu mengubah minda mereka dan menerima hakikat bahawa bidang ini bukan pilihan negatif tetapi laluan formal yang telah wujud sejak sekian lama,” katanya.

    Mengakui penyertaan kukuh masyarakat India dalam program TVET, Sri Ganes turut menekankan kepentingan untuk fokus kepada kursus bernilai tinggi selari dengan industri yang sedang berkembang seperti teknologi kenderaan elektrik (EV), pengendalian dron, sistem tenaga solar, kecerdasan buatan (AI) dan analitik data, bagi memastikan peluang pekerjaan yang lebih baik.

    “Bernilai tinggi bermaksud ia selari dengan peralihan industri yang sedang berlaku. Contohnya, teknologi EV, pengendalian dron dan sistem tenaga solar yang semuanya menawarkan potensi pertumbuhan yang pesat. Kita perlu membimbing pelajar untuk memilih bidang ini bukan sekadar menyertai mana-mana program latihan yang percuma,” katanya.

    Beliau berkata agenda Perkasa MADANI TVET dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) menekankan bukan sahaja aspek pengambilan tetapi juga strategi yang selari dengan industri masa hadapan agar graduan memperoleh pekerjaan dengan gaji tinggi atau memulakan perniagaan sendiri atau bekerja di pedalaman tanpa perlu berhijrah ke kawasan bandar.

    Bagi meningkatkan penglibatan belia India, terutama daripada kumpulan B40, yayasan itu telah melancarkan inisiatif di bawah Skim Pembiayaan TVET Perkasa MADANI dan RMK13, termasuk program TVET in School yang memperkenalkan kemahiran asas vokasional kepada pelajar sekolah Tamil di sekolah menengah biasa melalui kerjasama awam-swasta.

    Selain menyelaraskan latihan dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), yayasan juga menganjurkan pertandingan di peringkat sekolah, melakukan lawatan ‘TVET bergerak’ ke bengkel dan industri, serta melatih guru bimbingan dan kaunseling untuk membimbing pelajar ke arah laluan kerjaya yang sesuai.

    “Jadi bila kita mengenal pasti pelajar-pelajar ini, kita membuat satu inisiatif, TVET in school supaya pelajar ini dapat didedahkan kepada kemahiran asas,” katanya menambah bahawa pendedahan awal boleh mengurangkan salah faham bahawa TVET hanya melibatkan bidang yang bernilai rendah. – Bernama

    Sesi temu bual bersama Datuk P. Sri Ganes di SG Academy semasa Program Diploma Kulinari dan Pengeluaran Makanan pada 10 Ogos lalu. – Bernama
    Tenaga pengajar membuat demonstrasi bagi Program Kejuruteraan Automasi Industri (Mekatronik). – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda