Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hapuskan stigma demensia

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Demensia merupakan satu keutamaan kesihatan awam dan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) sedang dalam peringkat terakhir draf Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Warga Tua.

    Ia merupakan sebuah pelan tindakan pelbagai sektor yang mengintegrasikan komponen-komponen demensia serta penuaan berjaya menggunakan pendekatan senegara.

    Perkara itu disuarakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam rakaman ucapannya yang ditayangkan semasa Persidangan Rantau Asia Pasifik Penyakit Alzheimer Antarabangsa (ADI-APRC) 2023 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan berkata penuaan berjaya merujuk kepada warga tua atau emas yang aktif dan sihat serta pada masa yang sama, mampu untuk terlibat sama dan menyumbang kepada masyarakat.

    “Setiap orang tanpa mengira usia dan termasuk mereka yang mempunyai demensia harus mempunyai peluang untuk menyertai dan terlibat secara aktif dalam komuniti mereka bagi sebuah masyarakat inklusif.”

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa menyampaikan ucapannya melalui rakaman video yang ditayangkan semasa ADI-APRC 2023 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Antara yang hadir pada Majlis Perasmian ADI-APRC 2023, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Dalam ucapannya itu lagi, Yang Berhormat Dato menyatakan salah satu bidang tindakan dalam rangka kerja berkenaan adalah untuk mempromosikan kesedaran dan kemesraan kepada demensia.

    Pusat Promosi Kesihatan, KKBS dan demensia Brunei (dB) secara aktif bekerjasama dalam kempen-kempen kesedaran khususnya pada bulan September bersempena
    Bulan Demensia Sedunia yang berterusan hingga Oktober bagi Hari Jantung Sedunia dan Bulan Warga Emas.

    Dengan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai demensia, tambah beliau, kementeriannya berhasrat untuk mendidik orang ramai mengenai demensia khususnya bagaimana mereka boleh membantu, bukan sahaja pesakit tetapi juga penjaga mereka.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan lagi, ia bertujuan untuk menghapuskan stigma demensia bagi membolehkan mereka yang terjejas untuk menerima diagnosis dan penjagaan serta sokongan yang amat diperlukan.

    Dalam hubungan itu, latihan bagi penjaga dan keluarga yang mempunyai demensia disediakan menerusi Bengkel Kemahiran Penjagaan Demensia daripada Demensia Brunei semasa konsultasi klinikal dan oleh Kumpulan Sokongan Demensia.

    “Dalam era pasca pandemik, kita berharap untuk mengukuhkan dan menggabungkan inisiatif-inisiatif ini dan mencapai kumpulan-kumpulan relevan yang lain seperti barisan hadapan dan penyedia hospitaliti untuk memastikan Brunei menjadi sebuah komuniti mesra demensia.”

    Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dato berkata, kementerian juga secara aktif melihat kepada usaha memperbaiki diagnosis, rawatan dan penjagaan demensia di Negara Brunei Darussalam.

    Beliau berkata dengan peningkatan kesedaran orang ramai, kadar diagnosis demensia telah bertambah baik dengan ketara iaitu daripada 291 orang pesakit atau 18.5 peratus pada 2019 kepada 354 orang pesakit atau 22.5 peratus pada 2022.

    Negara Brunei Darussalam menyediakan liputan kesihatan universal dengan akses yang mudah kepada perkhidmatan kesihatan termasuk penjagaan utama bagi penilaian awal dan perkhidmatan klinikal demensia pakar daripada geriatrik, neurologi dan psikiatri.

    Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato menggalakkan mereka yang mempunyai kebimbangan mengenai simptom kognitif atau tanda amaran kemungkinan demensia untuk mendapatkan rawatan perubatan di klinik terdekat bagi penilaian lanjut.

    Pengurangan risiko demensia juga adalah selaras dengan keutamaan Kementerian Kesihatan dalam mencapai sasaran kebangsaan dan global bagi mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD).

    Dengan memanfaatkan teknologi, ulasnya, aplikasi BruHealth menyediakan maklumat mengenai penyakit-penyakit kronik dan faktor-faktor risiko mereka, skor indeks kesihatan peribadi dengan nasihat khusus berdasarkan kepada penilaian faktor risiko, penjejakan aktiviti fizikal, akses peribadi kepada senarai ubat-ubatan dan ujian darah yang membolehkan mereka untuk di perkasa untuk menjaga kesihatan mereka.

    Beliau menaruh harapan inisiatif berkenaan akan menyumbang kepada pengurangan ketara risiko demensia dan mengurangkan kejadian demensia di negara ini.

    Di samping itu, Brunei juga komited untuk menyumbang kepada inovasi dan penyelidikan demensia dengan Kementerian Kesihatan sedang aktif bekerjasama dengan Centre for Advanced Research, Universiti Brunei Darussalam yang mempunyai minat dalam isu-isu berkaitan kepada warga tua termasuk demensia.

    Di samping itu, negara juga menyumbang kepada World Health Organisation Global Dementia Observatory dengan membekalkan data bagi petunjuk demensia di mana pengumpulan data dipermudahkan oleh rekod kesihatan elektronik kebangsaan dan akan diperbaiki lagi oleh BruHIMS 2.0 dalam masa terdekat.

    Kementerian Kesihatan komited ke arah memastikan kesihatan dan kesejahteraan penduduk di negara ini, oleh itu, ukuran aktif bagi demensia dari segi pengurangan risiko, memperbaiki diagnosis, rawatan dan menyokong mereka yang mempunyai demensia adalah bidang-bidang tindakan utama, tegas Yang Berhormat Dato lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda