Hapuskan ‘stigma sosial’ rakan seliaan

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Sempena memperingati penubuhannya yang ke-65 tahun, Jabatan Penjara dengan kerjasama Jawatankuasa Aftercare (PROTEM) Brunei Darussalam dan Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam serta pihak yang berkenaan daripada agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan telah mengungkayahkan Larian Reintegrasi,hari ini.

Larian yang dimeriahkan dengan penyertaan orang ramai dan rakan-rakan seliaan itu membawa tema ‘Ke Arah Perubahan yang Lebih Baik’ yang dihasratkan agar rakan seliaan (bekas penghuni) akan menjadi orang yang berguna dan bertanggungjawab serta berbakti kepada keluarga, agama, bangsa dan negara.

Hadir selaku tetamu kehormat dan melepaskan para peserta larian ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, pemangku setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), rakan-rakan strategik, para pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara serta rakan-rakan seliaan dan keluarga.

Larian antara lain berobjektif untuk memberikan kefahaman dan kesedaran setiap lapisan masyarakat agar bersama-sama komited terhadap proses reintegrasi rakan-rakan seliaan dalam keluarga dan masyarakat ini agar menjadi individu yang berguna dan bertanggungjawab.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menghadiri program berkenaan, kelmarin.
Antara aktiviti yang diadakan semasa acara tersebut.
Antara aktiviti sampingan yang diadakan untuk memeriahkan Larian Reintegrasi, kelmarin.

Di samping itu juga membantu menangani dan menghadapi masalah ‘stigma sosial’ apabila berhadapan dengan keluarga atau masyarakat yang tidak menerima mereka serta mengurangkan risiko rakan-rakan seliaan daripada mengulangi jenayah.

Terdahulu, acara telah dimulakan dengan sesi memanaskan badan dan diikuti dengan pelepasan peserta larian yang dibahagikan kepada Kategori 11km Lelaki Terbuka, 11km Wanita Terbuka, 11km Lelaki Veteran dan 11km Wanita Veteran serta larian fun run.

Turut serta dalam larian tersebut ialah para peserta dari penjara Malaysia (Penjara Limbang dan Miri).

Muncul juara bagi Kategori 11km Lelaki Terbuka ialah Younes Ammouta diikuti oleh Mastani Yussop di tempat kedua dan Haziq Syazwan di tempat ketiga.

Bagi Kategori 11km Wanita Terbuka, tempat pertama dimenangi oleh Kathryn Deuerlein, tempat kedua Siti Fatimah dan tempat ketiga dimenangi oleh Lee Siew Shien.

Manakala itu, Kategori 11km Lelaki Veteran pula dijuarai oleh Haji Jupli bin Haji Pangis diikuti oleh Awang Sahminan bin Haji Mohd Salleh di tempat kedua, Kim Hing Lee di tempat ketiga.

Bagi Kategori 11km Wanita Veteran, juara disandang oleh Airince Liam, tempat kedua dimenangi Cecilia Maksimon dan tempat ketiga Rani Dawat.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar.

Di samping acara larian, Jabatan Penjara juga telah mengadakan acara sampingan seperti pameran aktiviti dan jualan produk kraf tangan penghuni serta acara sukan ria keluarga bagi orang ramai yang diungkayahkan oleh wakil dari setiap institusi Jabatan Penjara.