“Hari Raya ini, saya dan isteri menyambutnya bersama-sama di Hulu Langat.”
Ringkas jawapan penyanyi Haqiem Rusli, 26, ketika mengulas mengenai sambutan Aidilfitri mereka, ketika bertebaran spekulasi konon hubungannya dengan isteri, Anis Sofea, 21, bermasalah.
Tanda tanya tercetus apabila Anis atau nama sebenar, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, baru-baru ini, dikesan memadam foto bersama Haqiem di Instagram (IG).
Tidak cukup itu, Anis berkongsi beberapa foto yang memperlihatkan dirinya tidak lagi berhijab, seperti yang lazim dilihat sebelum ini. Sebaliknya, foto dipaparkan menunjukkan Anis berselendang untuk menutup sebahagian daripada rambutnya.
Perlakuan Anis itu pantas mengundang tanda tanya peminat yang mengaitkan perkara itu dengan kemungkinan rumah tangga mereka bermasalah.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada Haqiem mengenai spekulasi itu, gagal.
BH Online menghubungi ibu Haqiem, iaitu Nazrah Nordin, 54, bagi mengulas spekulasi bertebaran membabitkan anak dan menantunya itu.
“Tiada apa-apa yang berlaku. Mereka masih bersama seperti biasa. Anis beritahu fotonya bersama Haqiem tidak dipadam, hanya dimasukkan dalam arkib.
“Hubungan mereka baik-baik sahaja dan tiada masalah berlaku. Malah, ketika bergambar, mereka berpegangan tangan,” katanya.
Biarpun sedar ada peminat mula memperkatakan status perkahwinan anaknya itu, Nazrah tidak mahu mengambil tahu.
“Saya buat tak tahu sahaja apabila ada orang buat andaian mengenai mengenai hubungan mereka.
“Haqiem dan Anis dalam keadaan baik-baik sahaja. Ramadan lalu, mereka selalu balik ke kampung bersama-sama,” katanya.
Sementara itu, mengulas keputusan Anis tidak lagi berhijab sepenuhnya, Nazrah menjelaskan, menantunya itu masih dalam fasa membiasakan diri bertudung. – Agensi

