Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Harap dapat lampu hijau’

    SIBU, 27 Feb – Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Tanjung Manis (T-MEGA), sebelum ini dikenali sebagai hab halal Tanjung Manis, yakin pelabur dari China tidak lama lagi akan mendapat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk melaksanakan pelaburan mereka yang bernilai RM809 juta.

    Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) ialah agensi yang diberi mandat oleh kerajaan negeri untuk membangunkan Tanjung Manis.

    Penolong Pengurus Besarnya (kejuruteraan dan projek) Bill Ensol Abang berkata, proses itu melibatkan penilaian dan semakan terhadap laporan EIA yang diserahkan kepada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak(NREB).

    “Semuanya kini di peringkat akhir. Jadi, kami harap untuk mendapat lampu hijau dan kelulusan EIA pada tahun ini.

    “Semuanya sudah disediakan oleh syarikat China, Sun Valley Holdings, termasuk reka bentuk kolam penternakan udang,” katanya kepada Bernama pada lawatan tapak untuk wakil media yang menyertai program media selama enam hari anjuran agensi itu.

    Pengamal media berkenaan dibawa melawat bagi meninjau perkembangan pembangunan projek di bawah seliaan STIDC dari Sibu ke Lawas.

    Ensol berkata Sun Valley Holdings ialah sebuah syarikat dengan pengeluaran berskala besar.

    Beliau dan pasukannya telah melakukan lawatan ke China untuk melihat bagaimana syarikat itu mengendalikan perniagaan hariannya di sana.

    “Pelaburan Sun Valley di sini akan termasuk penternakan udang dan fasiliti pemprosesan, sebuah pusat penyelidikan dan aktiviti promosi,” katanya.

    Tanjung Manis pada asalnya dibangunkan sebagai zon pemprosesan kayu pada 1990 untuk memenuhi keperluan industri kayu di Lembangan Sungai Rajang di tengah Sarawak.

    Selepas kemelesetan ekonomi global pada 1998, usaha untuk membangunkan Tanjung Manis dipelbagaikan untuk memenuhi keperluan industri perikanan laut dalam dengan Jabatan Perikanan Malaysia membina pelabuhan ikan laut dalam bersepadu.

    Industri pembinaan kapal diperkenalkan di Tanjung Manis, yang mempunyai pelabuhan laut dalam semula jadi pada 2008 berikutan peningkatan permintaan terhadap kegiatan membina kapal.

    Pada 2009, kerajaan Sarawak memperkenalkan industri berasaskan halal dengan objektif menjadikan Tanjung Manis sebagai hab pengeluaran ikan terbesar negara.

    Pelabur akan diberikan Status Taman Halal Malaysia (Halmas) dengan insentif menarik dan perkhidmatan sokongan pensijilan halal.

    Keseluruhan kawasan yang dikhususkan bagi zon halal itu kira-kira 35,000 hektar, daripada 124,000 hektar yang diperuntukkan bagi industri tumpuan di T-Mega.

    Tanjung Manis ialah satu dari pusat pertumbuhan di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) selain Mukah, Tunoh, Baram dan Samalaju. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda