Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harap kembali ‘bernafas’ selepas berbulan ‘tenat’

    KUANTAN – Setelah berbulan-bulan ‘tenat’, pengusaha industri pelancongan di Pulau Tioman, Rompin, Pahang di Malaysia bersedia dengan syarat dan prosedur ditetapkan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membolehkan mereka kembali ‘bernafas’ dengan kehadiran pelancong. 

    Semasa dihubungi Bernama, mereka juga berharap ‘tiada kejutan pembatalan saat akhir’ kerana pengusaha pelancongan hanya ada kira-kira dua bulan untuk beroperasi sebelum ketibaan musim tengkujuh pada Disember disebabkan tiada operasi feri dibenarkan.  Pemilik Juara Mutiara Resort Shahrol Hazri Sani, 45, berkata kaunter pertanyaan mereka mula ‘dihujani’ panggilan, bagi membuat tempahan bilik atau bertanyakan mengenai harga bilik dan aktiviti yang ditawarkan. 

    “Ini melegakan kami yang teruk terjejas sejak tahun lepas. Malah, ini kali pertama kami diuji agak teruk selepas 30 tahun beroperasi sehingga terpaksa memberhentikan sementara pekerja kerana tidak boleh membayar gaji semua 20 kakitangan sebelum ini. 

    “Sejak pengumuman pembukaan semula, saya mula menghubungi pekerja mengajak mereka untuk kembali. Kehadiran semula pelancong bukan hanya membantu pemilik atau pengusaha resort, tetapi juga penduduk setempat kerana kami memang bergantung pada industri pelancongan,” katanya. 

    Shahrol Hazri berkata buat masa ini mereka sedang menunggu prosedur operasi standard (SOP) daripada pihak terlibat khususnya MKN supaya tindakan selanjutnya boleh diambil sebelum ketibaan pelancong bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Pada Selasa, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan Pulau Tioman antara tiga lokasi yang bakal menjadi destinasi baharu dibenarkan beroperasi bagi pelaksanaan gelembung pelancongan negara. Dua lagi lokasi ialah Genting Highlands dan Melaka. 

    Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perlada-ngan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mengesahkan Pulau Tioman sedia dibuka kerana telah mencapai imuniti kelompok sejak Julai lepas, selain turut mewujudkan Pasukan Petugas Tioman sebagai persediaan menerima pelancong. – Bernama

    Pengusaha industri pelancongan di Pulau Tioman bersedia dengan syarat dan prosedur ditetapkan kerajaan Malaysia dan MKN bagi membolehkan mereka kembali ‘bernafas’ dengan kehadiran pelancong. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda