Harap syafaat Al-Quran

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Al-Quran merupakan sumber rujukan utama yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia dan berpegang teguh dengannya pasti akan mendapat rahmat serta kebahagiaan hidup dunia dan syafaat di akhirat.

Perkara ini ditekankan oleh Pegawai Ugama, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Jabatan Pengajian Islam Pengiran Haji Mohd Norhadi bin Pengiran Haji Bongsu semasa menyampaikan tazkirah subuh bertajuk ‘Mengharap Syafaat Al-Quran’ semasa Program Masjidku Makmur, Negara Berkat minggu ini di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

Hadir sama mendengarkan tazkirah tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yusof dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

Dalam tazkirahnya, Pengiran Haji Mohd Norhadi seterusnya menjelaskan, antara langkah-langkah dalam mengharapkan syafaat Al-Quran di akhirat adalah dengan mengamalkan pembacaan, mendengarkan bacaan, mempelajari dan mengajarkan Al-Quran kepada orang lain dan beramal dengan ajaran-ajarannya. Program yang dikelolakan oleh KHEU dengan disokong JPM itu merupakan program mingguan dan ajakan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid.

Ini seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan sembahyang fardu Subuh secara berjemaah pada awal waktu di masjid.

Ia turut memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara Bandarku Ceria, memulakan langkah dan keceriaan hari dengan meraih keberkatan melalui partisipasi menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah.

Di samping itu juga, bagi merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.

Makmurnya masjid-masjid di negara ini, adalah antara landasan bagi menggandakan amal kebajikan dan meraih keberkatan dari Allah SWT bagi diri, keluarga dan juga Negara.

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan turut hadir pada majlis tahlil untuk Allahyarham TYT Ismail.