MANCHESTER, 2 April – Kebimbangan Jose Mourinho mengenai jadual padat mungkin terbukti bermasalah kepada Manchester United yang diikat seri 0-0 dengan West Bromwich Albion semalam.
Perlawanan pertama daripada sembilan perlawanan April ini berakhir dengan United diikat seri 0-0 di Old Trafford buat kali kelapan dalam Liga Perdana musim ini.
Tanpa enam pemain utama disebabkan kecederaan dan penggantungan, ia adalah petanda bahawa kempen meletihkan United mula membayangi mereka ketika pasukan itu cuba mendapatkan slot Liga Juara-Juara musim depan.
United kekal di tangga kelima, empat mata di belakang Manchester City, yang berdepan dengan Arsenal hari ini.
Di sebalik penguasaan separuh masa pertama United, pasukan tuan rumah gagal memaksa penjaga gol West Brom bekerja lebih keras. Anthony Martial nyaris memecahkan kebuntuan, selepas perlawanan memasuki setengah jam, apabila dia melompat tinggi bagi menyambut hantaran lintang Jesse Lingard, namun tandukan kencangnya melepas palang gol.
Tetapi, dengan Albion bertahan dengan 11 pemain di kawasan mereka, United kekurangan inspirasi untuk memecahkankan benteng pemain Tony Pulis. – AFP