Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harapan baharu hidupkan semula tradisi peniupan kaca

    DAMSYIK – Di tengah-tengah ibu kota Damsyik, Syria di mana cahaya matahari menembusi menara-menara dan bisikan memenuhi lorong-lorong purba, Muhammad Hallaq, peniup kaca berusia 63 tahun, menghembuskan ‘kehidupan’ ke dalam kaca cair, meneruskan warisan keluarga yang merangkumi tiga generasi.

    Setelah mempelajari kraf itu pada usia sembilan tahun, Hallaq kini digelar ‘Sheikh
    al-Kar terakhir,’ yang bermaksud pakar terakhir bagi seni yang semakin pudar itu.

    Bengkel Hallaq di daerah Zablatani, timur Damsyik, berdiri sebagai benteng tunggal peniupan kaca berskala penuh di negara yang dilanda perang itu.

    Sudah sekian lama Hallaq dan enam saudaranya bekerja di bengkel itu, mengekalkan tradisi keluarga dan warisan budaya yang terancam lenyap di tengah-tengah kemelut negara dan kekurangan permintaan asing.

    Tetapi dia mempunyai sebab baharu untuk harapan: UNESCO baru-baru ini telah menambahkan peniupan kaca Syria ke dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara yang Memerlukan Penjagaan Segera.

    Seorang peniup kaca meniup dan memutarkan kaca cair melalui tiub logam panjang untuk membuat barangan kaca. – Xinhua
    Foto menunjukkan barangan kaca buatan tangan di Damsyik, Syria. – Xinhua
    Seorang peniup kaca membuat barangan kaca. – Xinhua
    Muhammad Hallaq menunjukkan barangan kaca buatan tangan. – Xinhua
    Seorang peniup kaca membuat barangan kaca. – Xinhua
    Seorang peniup kaca membuat barangan kaca di Damsyik, Syria pada 21 Disember. – Xinhua

    “Saya berbangga bahawa ia adalah industri Syria yang telah termaktub dalam senarai oleh UNESCO,” katanya kepada Xinhua.

    “Sekarang saya optimistik dan berharap para pemuda akan digalakkan apabila mereka memahami betapa pentingnya UNESCO mengiktirafnya,” katanya.

    Di bengkelnya, dia mempunyai dua pelajar yang bersemangat: Yasmin Darwish, 15, dan ibunya, Basma Majzoub, 41. Mereka pernah bekerja dalam bidang jahitan, tetapi mereka jatuh cinta dengan peniupan kaca selepas melawat bengkel.

    “Saya menghadapi beberapa cabaran pada mulanya, tetapi saya mendapati kegembiraan dan semangat dalam mencipta objek kaca,” kata Darwish, yang tidak sabar untuk kembali ke bengkel setiap pagi.

    Kata ibunya, dia terpikat dengan bunyi dan bentuk kaca terutama gugusan anggur yang dihasilkan Hallaq.

    “Ia bukan sahaja hobi peribadi tetapi juga warisan negara. Saya tidak akan pernah me-ninggalkannya,” katanya.

    Walau bagaimanapun, di sebalik keyakinan mereka, peniup kaca menghadapi banyak kesukaran.

    Hallaq berkata sekatan ekonomi, terutamanya yang menjejaskan import pewarna penting, telah menjejaskan industri.

    Perniagaannya mengalami penurunan 90 peratus dalam permintaan semasa krisis, dan dia tidak mampu membayar harga bahan api yang tinggi tanpa pasaran asing utama untuk produknya, tambah Hallaq. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda