Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harapan baru untuk wanita luar bandar Senegal

    SENEGAL – Di Nganda, sebuah masyarakat luar bandar di Senegal yang terletak berhampiran dengan sempadan Gambian, seorang pemilik restoran Aissatou Tisse telah berjaya mengukir satu reputasi baru dalam mempromosikan gastronomi buatannya sendiri yang sangat lazat, iaitu sejenis hidangan tempatan yang menggunakan seratus peratus sumber tempatan.

    Sekitar 100 kilometer di Kampung Niakhar, Daba Dione yang mengalami kecacatan anggota telah menyara kaum keluarganya dengan menternak ayam di sebuah ladang ayam yang kecil dan disebabkan oleh beberapa kursus latihan yang disertai dalam kesihatan veterinar, dia secara langsung menjadi individu di mana para penduduk merujuk tentang keadaan ayam-ayam mereka. “Pada hari ini, saya juga telah berjaya melupakan akan keperitan masa lalu yang saya telah alami,” kata Dione kepada wartawan AFP.

    Kedua-dua wanita ini merupakan antara mereka yang mendapat manfaat daripada satu skim yang berusaha untuk menyokong meningkatkan taraf dan kedudukan wanita serta memerangi kemiskinan khususnya di kawasan pedalaman Afrika, yang sering didominasi oleh kaum lelaki, buruh dan isu tentang kesengsaraan akibat kemiskinan masih berleluasa.

    Keperluan untuk kaum wanita

    “Kami sebenarnya mempunyai keperluan wanita yang sangat besar dan kami menentang proses penahanan yang berlarutan dan fenomena penghijrahan dalam kalangan kaum lelaki,” kata Khadija Doucoure, pakar dalam menangani masalah isu gender dan remaja di Afrika Barat untuk Dana Antarabangsa Pembangunan Pertanian (IFAD). “Bagi saya, ia adalah satu perkara yang mustahak bagi kaum wanita untuk mempunyai kepelbagaian akses sebagaimana kaum lelaki khususnya dalam sumber kewangan, baja dan hadir dalam mesyuarat badan membuat keputusan dalam pemasaran produk,” tambah Khadija lagi kepada media AFP.

    Khadija Doucoure, pakar dalam menangani masalah isu gender dan remaja di Afrika Barat untuk Dana Antarabangsa Pembangunan Pertanian (IFAD). – AFP

    Beberapa agensi lain dalam PBB seperti IFAD dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) yang berpusat di Rom, telah menguruskan beberapa projek untuk membantu memperkuat lagi kaum wanita luar bandar yang mana menyumbang sekurang-kurangnya 43 peratus buruh pertanian di seluruh dunia. Menurut laporan FAO baru-baru ini, kaum wanita bertanggungjawab untuk proses penjagaan kanak-kanak dan tugas-tugas rumah tangga serta bekerja di ladang namun hanya menikmati akses terhad khususnya kepada kuasa pemilikan tanah, kredit, maklumat dan teknologi.

    Di kawasan barat dan tengah Afrika, IFAD telah mengendalikan sekitar 55 buah projek yang memaparkan mengenai kesamaan jantina sebagai satu matlamat mereka. Antara tahun 2010 dan 2015, projek itu telah mencapai sekitar 139 juta penduduk, di mana 43.2 juta telah menyaksikan satu kenaikan khususnya dalam pendapatan melalui sektor pertanian. Projek ini juga telah membantu sekitar 24 juta kaum wanita daripada belenggu kemiskinan.

    “Matlamat utama adalah untuk membantu kaum wanita dengan satu cara yang efisien bagi mengurangkan kekurangan zat makanan yang kronik malah wanita lebih cenderung daripada lelaki untuk menghabiskan pendapatan mereka atas makanan dan juga pendidikan,” tambah laporan projek itu.

    Menimbulkan satu risiko

    Walau bagaimanapun, penganalisis bebas, Jean Christophe Debar telah memberi amaran tentang risiko yang lebih luas jika penderma institut seperti FAO dan Bank Dunia menumpukan perhatian kepada wanita disebabkan oleh kesulitan yang dirasakan. “Saya bimbang akan satu perkara, apa yang sebenarnya kita perlukan adalah ekonomi luar bandar yang berfungsi sama rata untuk memenuhi keperluan semua orang,” kata Jean kepada wartawan media.

    Seorang pemilik restoran Aissatou Tisse telah berjaya mengukir satu reputasi baru dalam mempromosikan gastronomi buatannya sendiri yang sangat lazat, iaitu sejenis hidangan tempatan yang menggunakan 100 peratus sumber tempatan. – AFP

    “Kita tidak seharusnya memberikan satu gambaran bahawa sudah cukup untuk memberikan tumpuan kepada wanita untuk berharap semuanya akan berjalan dengan lancar. Dua masalah yang sering timbul di Afrika adalah akses kepada cara pengeluaran, akses untuk pergi ke pasar dan untuk mendapatkan harga yang lebih memuaskan dan menguntungkan,” tambah Jean lagi kepada wartawan media.

    Di Nganda, di mana sesetengah keluarga tidak mampu untuk menampung kesemua makanan yang mereka perlukan, IFAD telah membiayai program sokongan ladang bersama negara Senegal sejak tahun 2012. Penduduk diberikan benih yang disesuaikan untuk sentiasa bertahan dalam keadaan kemarau serta mendapat latihan agronomi asas dalam pengurusan tanah.

    “Saya hanya bekerjasama dengan pembekal tempatan malah kami akan dapat membeli kuda dan seterusnya kami melancarkan pengeluaran minyak (kacang tanah),” kata Tisse kepada wartawan AFP ketika berada di restoran miliknya yang mana dia menyediakan segelas air bisaap ruby, iaitu minuman terkenal yang dibuat dari daun bunga raya kering. Tisse terpaksa meninggalkan zaman persekolahannya terlalu awal selepas ibu bapanya meninggal dunia.

    “Sehingga ke hari ini, mana-mana kaum lelaki yang telah berhijrah ke ibu negara tidak akan pernah untuk kembali ke kawasan ini. Jika wanita turut pergi, siapa lagi akan dapat menjaga dan memelihara ladang-ladang pertanian dan ternakan mereka. Namun apa yang menyedihkan, keadaan tanah di kawasan ini tidak berfungsi lama untuk keperluan generasi-generasi seterusnya dan disebabkan oleh perkara ini, anak-anak muda terus meninggalkan kawasan ini dan memandang jauh ke hadapan,” tambah Tisse lagi kepada media.

    “Semenjak skim itu diperkenalkan, saya telah berupaya untuk memenuhi pelbagai keperluan saya dan sekarang, kami sedang mengusahakan 200 hektar tanah dan menjalankan perniagaan sendiri. Jika lelaki di sekeliling kami, kami mungkin tidak akan terlibat dalam pemprosesan makanan mahu pun membuka perniagaan makanan. Dan saya bayar gaji semua orang,” tambah Tisse mengakhiri temu ramah bersama media. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda