Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harapan DPMM FC terjejas

    Oleh Fadil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Harapan Pasukan DPMM FC untuk menamatkan kempen Liga Perdana Singapura di tangga kedua terjejas selepas seri tanpa jaringan ketika menentang Balestier Khalsa FC dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Toa Payoh, Singapura semalam.

    Manakala dalam satu lagi perlawanan, Shahri Ishak menjadi penyelamat untuk mengutip satu mata bagi Pasukan Home United lima minit selepas bolos menerusi sepakan penalti Khairil Amri bagi pasukan Tampines Rovers untuk mengukuhkan kedudukan kedua dan sekali gus memasuki pusingan kelayakan Liga Juara-Juara AFC.

    Pasukan The Stag itu menghuni tangga ketiga tetapi DPMM FC masih berpeluang untuk memintas mereka jika berjaya mencatatkan kemenangan menentang Young Lions dalam perlawanan terakhir di gelanggang sendiri pada 9 Oktober ini.

    Azwan Salleh membuat hantaran lintang ke tengah yang berjaya ditolak keluar penjaga gol Balestier Khalsa, Zaiful Nizam tetapi tolakan tersebut tepat kepada Adi Said yang menyaksikan tandukannya keluar dari kedudukan bahaya.

    Sepakan kaki kiri Vedran Mesec hanya singgah di tepi jaring ketika mereka menguasai permainan pada separuh masa pertama sebelum mendapatkan ruang untuk melakukan percubaan menarik yang tersasar keluar. Helmi Zambin berjaya melakukan hantaran lintang dari garisan tepi bagi Volodymyr Priyomov tetapi sepakannya lemah dan membolehkan Zaiful untuk mengeluarkan bola.

    Sepakan dari jarak jauh Azwan Salleh kemudian hanya terkena tepi gawang ketika pasukan ‘Gegar-Gegar’ itu dilihat cuba untuk melakukan jaringan lewat separuh masa pertama.

    Pasukan The Tigers dikejutkan selepas Keegan Linderboom dipaksa meninggalkan padang kerana mengalami kecederaan dengan digantikan oleh Noor Akid Nordin sebelum separuh masa pertama berakhir.

    Azwan Salleh kemudian mencuba nasibnya dari kedudukan tengah berbanding percubaan awalnya pada minit–minit awal separuh masa kedua tetapi rembatannya berjaya didakap kemas Zaiful.

    Adi Said, yang banyak menghasilkan umpanan gol musim ini, membuat hantaran tinggi ke tengah tetapi Volodmymr tidak dapat melakukan sentuhan ketika Zaiful sudah bersedia bagi ancaman itu. Pasukan pelawat juga memiliki kebimbangan terhadap kecederaan pemain penyerang DPMM FC, Abdul Azizi Rahman yang meninggalkan padang menggunakan usungan dan digantikan oleh Shafie Effendy.

    Abdul Hariz Herman hampir menjaringkan gol menerusi rembatan jarak dekat.

    Sepakan bebas melencong Volodymyr tersasar ke sisi tiang gol ketika pemain penyerang bersedia untuk merapatkan jurang penjaring terbanyak Shuhue Hoshino. Brian McLean memberikan umpanan kepada Najib Tarif tetapi dikawal rapi oleh tiga pemain Balestier ketika pasukan pelawat berusaha memburu kemenangan.

    Aksi Adi Said semasa menentang Pasukan Balestier Khalsa FC dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Toa Payoh, baru-baru ini.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda