Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harapan dua wartawan punah

    YANGON, 11 Jan – Seorang hakim Myanmar hari ini menolak rayuan dua orang wartawan Reuters yang telah dipenjarakan tujuh tahun ketika sedang menyiasat kekejaman yang dilakukan ke atas Rohingya, yang memusnahkan harapan tipis kedua-dua mereka itu akan dibebaskan awal.

    Kedua-dua wartawan itu, Wa Lone, 32 tahun dan Kyaw Soe Oo, 28 tahun diberkas di Yangon pada Disember 2017 dan kemudian dipenjarakan kerana menyalahi akta rahsia negara, satu dakwaan yang menurut Reuters telah direka-reka untuk mengongkong laporan mereka.

    Pihak pendakwa berkata kedua-dua mereka memiliki maklumat sulit berhubung operasi keselamatan di negeri Rakhine, yang mana beratus-ratus ribu umat Islam Rohingya melarikan diri dari tindakan yang diketuai tentera yang digelar oleh PBB ‘pembersihan etnik’.

    Aung Naing, hakim Mahkamah Tinggi Serantau Yangon hari ini mengatakan keputusan asal ‘tidak salah mengikut undang-undang’ dan adalah ‘keputusan munasabah’.

    “Mahkamah memutuskan untuk menolak rayuan itu,” ujarnya.

    Peguam-peguam kini boleh merayu Mahkamah Tinggi di Myanmar, satu proses yang mungkin mengambil masa kira-kira enam bulan.

    Isteri-isteri kepada kedua-dua wartawan menangis selepas keputusan itu dibuat, bagi menghukum kedua-dua wartawan itu terus meringkuk di penjara Insein, Yangon, yang mana mereka telah ditempatkan di situ 13 bulan lalu.

    Kedua-dua wartawan tidak hadir mendengar keputusan itu, menegaskan mereka adalah mangsa rancangan polis, dengan merujuk kepada testimoni dari seorang pegawai bertugas yang mengatakan pihak atasan telah mengarahkan yang lain untuk memerangkap mereka.

    Pada ketika penahanan itu mereka sedang menyiasat pembunuhan beramai-ramai 10 orang Rohingya. – AFP

    Peguam bagi kedua wartawan Reuters, Than Zaw Aung, bercakap kepada media selepas satu pendengaran di Mahkamah Tinggi Yangon kelmarin. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda