Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harapan guru mahu anak didik berjaya

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    Istilah pendidik membawa makna cukup besar, begitu juga tanggungjawab yang hadir bersamanya, namun jika diteliti mendalam, amanah dipikul seorang pendidik lebih besar dan berat berbanding sekadar sapaan atau panggilan digunakan masyarakat.

    Dalam meraikan pengorbanan seorang guru itu, Negara Brunei Darussalam telah menyambut Hari Guru sebagai memperingati dan menghargai sumbangan jasa pendidik di negara ini pada 23 September setiap tahun.

    Namun begitu, bukanlah bermakna guru hanya diingati pada hari tersebut sahaja, malah jasa guru perlu sentiasa dikenang dalam doa kita setiap hari.

    Sambutan itu juga adalah sebagai usaha untuk memartabatkan profesion perguruan yang banyak menyumbang bakti kepada pembangunan kapasiti tenaga manusia di negara ini.

    Dalam berkongsi cabaran yang dilalui seorang guru dan harapan di masa hadapan mereka, media berpeluang menemu bual beberapa orang guru yang telah menerima anugerah Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-33, Tahun 2023, kelmarin.

    Dayang Martiniwati salah seorang penerima Anugerah Guru Cemerlang bergambar bersama ibu bapa beliau. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Awang Mohammad Ariffin penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru ke-33. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Awang Mohammad Zool Fadli telah berkhidmat sebagai guru selama 15 tahun. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Majlis Kemuncak Sambutan Hari Guru diadakan kelmarin di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa. – Gambar oleh Infofoto

    Menjadikan Bahasa Arab digemari

    Penerima Anugerah Guru Cemerlang, Dayang Martiniwati binti Haji Ahmad, guru Bahasa Arab di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, melahirkan harapan akan terus berkhidmat dan sama-sama berjuang dengan guru-guru yang lain ke arah meningkatkan lagi Bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam.

    Beliau yang sudah berkhidmat selama 21 tahun mengajar Bahasa Arab, menyembahkan ucapan menjunjung kasih kehadapan Kebawah Duli Maha Mulia Yang Maha Mulia atas penganugerahan kepada guru-guru yang terpilih sempena Hari Guru tahun ini.

    Beliau berkata, “memang perasaan tidak dapat digambarkan apabila menjadi salah seorang penerima Anugerah Guru Cemerlang, sangat gembira dan tidak menyangka akan mendapat anugerah ini, sebab memang semua guru-guru adalah yang terbaik”.

    Ketika mengongsikan perkembangan pendidikan terutama Bahasa Arab semasa mula berkhidmat sehingga kini.

    “Memang perubahan pendidikan itu banyak jika dibandingkan semasa mula-mula berkhidmat, pengajaran Bahasa Arab itu sederhana saja, sangat simple, buku nota, buku latihan tapi sekarang pengajaran dipelbagaikan iaitu ditemani dengan IT, aktiviti intervensi ditambah dengan kerjasama daripada semua guru,” jelasnya.

    Berbanding dulu, guru dengan penuntut sahaja, tapi kini pengajaran membawa kepada keluar kelas dan itu yang membuatkan pelajar-pelajar berminat untuk mempelajari Bahasa Arab.

    Walaupun Bahasa Arab itu agak sukar, tambahnya, guru-guru hendaklah lebih kreatif untuk menarik minat pelajar.

    Menyentuh mengenai titah Baginda sempena Hari Guru ke-33, Dayang Martiniwati menyahut baik titah Baginda dan guru-guru di negara ini akan menyahut cabaran Wawasan 2035 untuk meningkatkan lagi ilmu Bahasa Arab ini lebih cemerlang di masa akan datang.

    Niat ikhlas membawa kejayaan

    Seorang pendidik mempunyai cabaran yang luar biasa dan sebagai tonggak mestilah mempunyai niat yang tulus ikhlas kerana Allah dan ingatkan anak-anak generasi di masa akan datang.

    “Kalau kita mempunyai niat ikhlas sudah pasti kita akan dapat mengharungi apa juga cabaran atau perubahan yang ada pada masa ini dan akan datang”.

    Perkara ini dikongsikan oleh salah seorang guru penerima Anugerah Cemerlang, Awang Mohammad Zool Fadli bin Haji Mahbub, guru mata pelajaran Sains di Sekolah Rendah Sultan Hashim, Batu Apoi, Temburong yang telah berkhidmat selama 15 tahun.

    Beliau berkongsi cabaran di samping memberi pandangan perkembangan pendidikan semasa mula-mula berkhidmat sehingga kini.

    Pada temu bual itu, beliau dengan perasaan terharu mengucapkan ‘Masya Allah Tabarakallah’ dengan anugerah yang diterima dan ia adalah satu anugerah luar biasa.

    Dengan anugerah yang diterima ini, ia memberi semangat lagi untuk menjadi seorang pendidik yang berwibawa, lebih berdedikasi untuk anak generasi yang berada di Negara Brunei Darussalam.

    Katanya, “memang setiap seorang pendidik itu mempunyai satu harapan dan impian. Beliau ingin melihat anak-anak bangsa berjaya dalam apa sahaja ilmu yang diberikan daripada segala bidang”.

    Mengenai dengan titah Baginda sempena Hari Guru ke-33, beliau menjelaskan, selaku rakyat dan seorang pendidik menyahut apa saja keperluan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk sentiasa memajukan negara sehingga di persada dunia.

    Guru sebagai ibu bapa di sekolah

    Awang Mohammad Ariffin bin Haji Saili, guru mata pelajaran Fiqh Jenayat di Sekolah Ugama Lambak Kanan, sudah berkhidmat sebagai guru selama 15 tahun.

    Menjadi salah seorang penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru ke-33, menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas penganugerahan ini.

    Dengan anugerah ini, ia akan menjadi pemangkin untuk lebih tekun mengajar, mendidik pelajar ke arah yang lebih cemerlang dan yang lebih penting menjadikan pelajar yang berakhlak mulia.

    “Ketika mengongsikan pandangan, memang pendidikan sekarang semakin mencabar, lebih-lebih lagi berhadapan dengan pelbagai murid dan ia menjadikan guru-guru sebagai ibu bapa yang berada di sekolah, mendidik sepenuhnya dengan disiplin yang berkualiti tinggi,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda