PARIS, 30 Mei – Ancaman serangan pengganas di Perancis telah memusnahkan peluang peminat untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia menerusi skrin gergasi di kawasan awam, menurut kementerian dalam negeri.
“Saya mengingatkan semua pegawai yang dilantik bahawa ‘zon skrin gergasi’ adalah ditegah sepenuhnya di kawasan awam,” menurut kenyataan daripada kementerian itu.
Perancis telah menjadi sasaran kepada beberapa serangan pengganas dalam beberapa tahun kebelakangan, hingga mencetuskan kawalan keselamatan di seluruh negara.
“Dalam suasana ketika ini berdepan ancaman pengganas, prosedur keselamatan yang digunakan semasa Kejuaraan Eropah yang lalu perlu digunakan sekali lagi dengan tahap keberkesanan yang sama.”
Ketika Euro 2016 diadakan di Perancis, peminat yang ingin menyaksikan perlawanan menerusi skrin gergasi di kawasan awam perlu melakukannya dengan memasuki satu daripada 10 zon peminat di setiap bandar yang menjadi tuan rumah, di mana kesemuanya menerima kawalan keselamatan yang ketat.
Arahan yang dikeluarkan semalam mencadangkan pihak berkuasa tempatan yang mahu mengadakan zon peminat dengan skrin gergasi boleh berbuat sedemikian.
Namun begitu, penganjuran seumpama itu adalah di bawah tanggungjawab pihak penganjur dan hanya boleh diadakan di kawasan tertutup atau dikawal ketat seperti stadium, venue sukan, dewan persidangan dan lain-lain.
Kawasan-kawasan berkenaan turut perlu dilengkapi dengan kawalan ketat dan kosnya ditanggung oleh penganjur sendiri. – AFP