Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harapan penggunaan besikal tetap bertahan di Athens

    ATHENS – Setelah menjalani perintah berkurung selama berminggu-minggu kerana wabak COVID-19, orang-orang Greece nampaknya menantikan peluang untuk keluar bagi melakukan sesuatu yang telah lama dinantikan oleh mereka iaitu keluar daripada krisis penularan virus tersebut dan menunggang basikal untuk penggembaraan.

    Kebanyakan orang di negara ini telah membersihkan basikal lama mereka atau membeli yang baharu dalam beberapa minggu kebelakangan untuk menikmati apa sahaja yang tersisa dalam tempoh yang digambarkan mereka sebagai satu ‘pembebasan’, kata jurujual dan pengguna kepada Xinhua di Athens.

    Perintah berkurung pertama di Greece bermula pada 23 Mac tahun lalu dan berakhir pada 4 Mei lalu.

    Yang kedua bermula pada 7 November dan telah berkuat kuasa sejak itu.

    Penduduk dibenarkan keluar dari rumah mereka hanya untuk tujuan kerja atau kesihatan, untuk membeli barang keperluan ketika penghantaran bukanlah pilihan, untuk membantu orang yang memerlukan, menghadiri pengebumian atau berjalan bersama haiwan kesayangan dan bersenam dalam jarak dekat dari rumah.

    Kelihatan beberapa orang menunggang basikal di taman Tritsi di Athens, Greece. – Xinhua

    Oleh kerana kereta dan motosikal adalah dilarang ketika perintah kawalan pergerakan, jalan-jalan dilihat dipenuhi dengan peningkatan jumlah penunggang basikal.

    “Kami gembira melihat orang mula menunggang basikal lagi… Basikal menggantikan kereta di pusat bandar Athens, itu pemandangan yang indah,” jelas Panos Patakias, pemilik syarikat basikal Life Cycles.

    “Terdapat momentum yang kukuh dalam pasaran basikal. Ia bermula pada bulan Mac tahun lalu ketika virus baru saja melanda Greece. Penjualan tahun lalu melonjak ke puncak yang bersejarah. Hari ini, setahun ke arah pandemik, permintaan masih meningkat secara stabil,” katanya.

    Dalam tempoh pra-COVID-19, rata-rata 200,000 basikal dijual di Greece setiap tahun.

    Menurut anggaran tidak rasmi yang dikutip oleh peruncit basikal dan dipetik oleh agensi berita Greece, AMNA, di antaranya Patakias, tahun 2020 menyaksikan peningkatan permintaan basikal dari tahun ke tahun sebanyak 40 hingga 400 peratus.

    “Latihan fizikal lebih diperlukan daripada sebelumnya pada masa ini,” kata Yorgos K, salah seorang penduduk Greece yang melakukan aktiviti berbasikal dua tahun yang lalu untuk kekal cergas dan sihat, kepada Xinhua di kompleks Olimpik Athens OAKA, tempat utama Sukan Olimpik Athens 2004.

    “Sekarang ada peningkatan besar dalam jumlah penunggang basikal. Saya bercakap dengan pemilik kedai yang menjual basikal dan mereka memberitahu saya bahawa pada masa ini terdapat kekurangan basikal untuk dijual. Ini adalah fakta dan sangat menyenangkan ketika itu.”

    Tujuan penunggang basikal, peruncit dan juga bahagian kerajaan adalah keadaan ini diharap terus berkekalan. Patakias optimis bahawa ia bukan trend yang akan segera hilang.

    “Ada orang yang menggunakan basikal sebagai ujian, mereka menemui cara lain untuk melihat dunia dan mereka terus membeli basikal yang lebih baik,” kata Patakias.

    “Hebatnya, minat juga tertarik pada jenis basikal baharu, seperti basikal elektrik.”

    Kerajaan mendorong peralihan ini. Beberapa bulan yang lalu, Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis mengumumkan bahawa insentif kewangan akan diberikan untuk pembelian basikal elektrik, bersama dengan kenderaan elektrik dan motosikal. Dalam beberapa minggu, Kota Athens membuka lorong basikal dan laluan pejalan kaki baharu di pusat ibu kota.

    Penunggang basikal itu sendiri juga optimis kenderaan mereka tidak akan terbiar setelah wabak itu reda.

    “Tidak memerlukan wang, tidak memerlukan bahan bakar, tidak mencemarkan alam sekitar – manfaat basikal banyak. Saya percaya ledakan basikal tetap ada selepas berakhirnya kuarantin,” kata Yorgos A. kepada Xinhua. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda