Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Mahkamah Perantaraan, hari ini, telah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap seorang wanita tempatan yang mengaku bersalah atas pertuduhan mendera secara fizikal anak saudaranya dalam kes membabitkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.
Nur Amal Shakinah binti Ahmad Termizi mengaku bersalah atas empat pertuduhan penderaan fizikal terhadap anak saudaranya.
Terdahulu dalam mitigasi, defendan memohon kelonggaran kerana dia mempunyai dua anak kecil untuk dijaga.
Hakim, Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni mengambil kira faktor-faktor yang memburukkan di mana defendan telah menyalahgunakan kepercayaan kerana dia merupakan ibu saudara sebelah ibu kepada kanak-kanak malang itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fitri binti Kiprawi mendedahkan di mahkamah bahawa adik defendan berusia 23 tahun telah memintanya untuk menjaga anaknya, mangsa, pada Julai 2022 kerana dia sedang melalui perceraian dan bekerja syif di Daerah Belait. Sejak itu, mangsa tinggal bersama tertuduh dan suaminya di Meragang.

Kejadian yang membawa kepada kematian mangsa bermula pada 16 September 2022 kira-kira 11 malam apabila mangsa dibawa ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) oleh defendan dan suaminya kerana mangsa tidak sedarkan diri dan kulit mangsa bertukar menjadi biru.
Semasa tiba di hospital, CPR dan resusitasi telah dilakukan oleh kakitangan hospital ke atas mangsa.
Akhirnya, mangsa sedar tetapi lemah dan kemudian dimasukkan ke High Dependency Unit, Wad Kanak-kanak di Bangunan Wanita dan Kanak-kanak Hospital RIPAS.
Semasa pemeriksaan kesihatan lanjut oleh doktor dan kakitangan hospital pada malam itu, perunding pediatrik mendapati beberapa kecederaan di muka, dada dan bahu mangsa.
Kakitangan hospital kemudiannya diarah memantau mangsa dan tidak membenarkan ahli keluarga mangsa melawatnya di wad semalaman. Laporan polis telah dibuat oleh kakitangan hospital pada hari berikutnya.
Malangnya, mangsa disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya, 17 September 2022 kira-kira pukul 11 pagi di wad tersebut.
Laporan polis juga membawa kepada penahanan defendan dan suaminya, kemudian siasatan mendedahkan tindakan defendan terhadap mangsa.
Defendan telah berulang kali mendera mangsa secara fizikal dalam beberapa kesempatan dan sekali ketika dia menggunakan methylamphetamine.
Kes terhadap suami defendan, yang kini berdepan pertuduhan membunuh dan tujuh pertuduhan lain berhubung penderaan kanak-kanak terhadap mangsa yang sama akan dibicarakan.

