Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Kita sudah berada di hujung tahun 2023 dan sedar tak sedar, umur pun semakin meningkat setiap tahun, tetapi yang penting di sini ialah pengakhiran hidup kita.
“Adakah kita sudah mengetahui pengakhiran kita sama ada baik atau buruk? Apakah persiapan kita sebelum nyawa dicabut daripada badan, yang mana kita sendiri pun tidak tahu bila dan di mana.
“Apa yang kita sangat harapkan adalah husnul khatimah dan mudah-mudahan kita semua dikurniakan husnul khatimah iaitu pengakhiran yang baik.”
Perkara itu ditekankan oleh daie bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Mohd Fahmi bin Haji Mat Nor semasa menyampaikan tazkirah pada program Malam Munajat dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas, kelmarin.
Acara telah menjemput Pemangku Pengurus Keselamatan Setia Protective Security Services (SPSS) Sdn Bhd, Haji Abdul Rahim bin Haji Imran, yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

Hadir menyertai acara secara maya itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut mengimarahkan acara ialah ahli-ahli jawatankuasa takmir dan para jemaah serta belia dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit; Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait dan Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; serta beberapa buah lagi masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara di samping warga kerja di bawah KHEU dan jabatan-jabatan serta institusi pendidikan di bawahnya bersama keluarga dari kediaman masing-masing.
Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, acara diteruskan dengan bacaan Surah Al-Waqi’ah beramai-ramai yang dipimpin oleh imam Masjid Mohammad Jamalul Alam, Haji Noor Azhar bin Haji Harith dari masjid berkenaan.
Acara diikuti dengan bacaan Doa Munajat oleh Dekan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Mulok.
Sejurus tazkirah, selawat dipimpin oleh belia Masjid Hassanal Bolkiah dari masjid berkenaan.
Bagi memberkati acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Ketua Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin.
Malam Munajat anjuran KHEU itu mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, meminta keampunan dari Allah SWT dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit merbahaya.