TOKYO, 3 MAC – Harga beras di Jepun kekal tinggi meskipun kerajaan mengumumkan rancangan dua minggu lalu untuk mengeluarkan stok simpanannya bagi mengawal kenaikan harga, lapor Kyodo News.
Pada 14 Februari, kerajaan mengumumkan pengeluaran sehingga 210,000 tan beras daripada stok simpanannya, yang dijangka diagihkan kepada pemborong pada pertengahan Mac selepas proses bidaan.
Bekalan itu dijangka mula berada di pasaran antara akhir Mac dan awal April.
Kementerian Pertanian sebelum ini menjangkakan pengumuman itu sahaja sudah memadai untuk menurunkan harga beras, namun kesan yang diharapkan tidak berlaku, kata seorang eksekutif pemborong beras utama.
Sebagai contoh, harga borong bagi beras perang Koshihikari dari Wilayah Niigata kekal sekitar 48,300 yen (AS$320) hingga 48,500 yen setiap 60 kilogram setakat 26 Februari, hampir tidak berubah berbanding sebulan sebelumnya, menurut firma penyelidikan pasaran beras, Beikoku Databank. – Bernama
