TOKYO, 18 JULAI – Harga beras di Jepun melonjak 99.2 peratus pada bulan Jun berbanding tahun sebelumnya, menurut data rasmi hari ini, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba menjelang pilihan raya hujung minggu ini.
Sokongan awam terhadap pentadbiran Ishiba telah merosot ke tahap paling rendah sejak dia menyandang jawatan itu tahun lalu, sebahagiannya disebabkan rasa tidak puas hati terhadap kos sara hidup.
Salah satu punca utama kemarahan rakyat ialah inflasi, khususnya kenaikan mendadak harga beras, di samping beberapa skandal yang melibatkan parti pemerintah.
Harga bijirin itu telah pun melonjak 101 peratus pada bulan Mei berbanding tahun sebelumnya, selepas meningkat 98.4 peratus pada April dan lebih 92.5 peratus pada Mac.
Secara keseluruhan, kadar inflasi teras Jepun menurun kepada 3.3 peratus pada bulan lalu daripada 3.7 peratus pada Mei, menurut data Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Angka tersebut, yang tidak mengambil kira harga makanan segar yang berubah-ubah, adalah lebih rendah di bawah jangkaan pasaran iaitu 3.4 peratus.
Tidak termasuk tenaga dan makanan segar, harga pengguna meningkat 3.4 peratus berbanding 3.3 peratus pada bulan sebelumnya.
Tinjauan pendapat menjelang pilihan raya Ahad ini menunjukkan gabungan parti pemerintah mungkin kehilangan majoriti di Dewan Negara.
Situasi tersebut boleh memaksa Ishiba meletak jawatan sebelum genap setahun berkhidmat sebagai perdana menteri.
Pada Oktober lalu, gabungan pemerintah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat yang lebih berpengaruh.
Ia merupakan keputusan pilihan raya paling buruk dalam tempoh 15 tahun bagi Parti Demokratik Liberal (LDP), yang telah menerajui tampuk pentadbiran Jepun secara berterusan sejak 1955. – AFP

