TOKYO, 18 JULAI – Harga beras di Jepun melonjak 99.2 peratus pada Jun tahun ke tahun, data rasmi menunjukkan kelmarin, meningkatkan tekanan lanjut ke atas Perdana Menteri, Shigeru Ishiba menjelang pilihan raya hujung minggu ini.
Harga bijirin tersebut telah melonjak 101 peratus tahun ke tahun pada bulan Mei, setelah melonjak 98.4 peratus pada April dan lebih daripada 92.5 peratus pada Mac.
Secara keseluruhan, kadar inflasi teras Jepun perlahan kepada 3.3 peratus pada Jun daripada 3.7 peratus pada Mei, menurut data daripada kerajaan.
Bacaan itu, yang tidak termasuk harga makanan segar yang tidak menentu, adalah sedikit di bawah jangkaan pasaran sebanyak 3.4 peratus dan tidak termasuk tenaga dan juga makanan segar, harga pengguna meningkat 3.4 peratus, berbanding 3.3 peratus pada Mei.
Sokongan orang ramai terhadap pentadbiran Ishiba telah jatuh ke tahap paling rendah sejak beliau memegang jawatan pada Oktober, sebahagiannya kerana kekecewaan terhadap kos sara hidup.
Salah satu punca utama kemarahan ialah inflasi dan khususnya kenaikan kos beras, serta skandal dalam parti pemerintah.
Gabungan pemimpin berusia 68 tahun itu telah dilucutkan majoriti dalam dewan rakyat yang berkuasa pada Oktober. Ia merupakan keputusan pilihan raya terburuk dalam 15 tahun bagi Parti Liberal Demokratik (LDP), yang telah mentadbir Jepun hampir berterusan sejak 1955.
Tinjauan menjelang pilihan raya Ahad nanti mencadangkan gabungan pemerintah mungkin kehilangan majoriti di dewan atasan dan boleh memaksa Ishiba meletak jawatan selepas tidak sampai setahun.
Beliau telah berada di bawah tekanan tambahan untuk mencapai perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat sebelum tarif baharu sebanyak 25 peratus berkuat kuasa pada 1 Ogos.
Faktor di sebalik kenaikan harga beras termasuk kekurangan bekalan akibat musim panas dan kering dua tahun lalu yang merosakkan hasil tuaian di seluruh negara. Sejak itu beberapa peniaga telah menyorok beras dalam usaha untuk meningkatkan keuntungan mereka, kata pakar.
Isu itu diburukkan lagi dengan pembelian panik tahun lalu yang didorong oleh amaran kerajaan tentang potensi ‘gempa mega’ yang tidak berlaku.
Kerajaan Jepun juga telah mengambil langkah drastik mengeluarkan stok kecemasan sejak Februari, yang biasanya hanya dilakukan semasa bencana. – AFP


