TOKYO, 20 JUN – Harga beras di Jepun melonjak lebih dua kali ganda dalam tempoh 12 bulan sehingga Mei, menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Perdana Menteri Shigeru Ishiba menjelang pilihan raya penting bulan depan.
Pilihan raya untuk Dewan Parlimen Jepun itu dianggap penting bagi Ishiba, setelah sokongan awam terhadap pentadbirannya merosot ke paras terendah sejak beliau memegang jawatan pada Oktober lalu sebahagiannya disebabkan oleh kekecewaan terhadap kos sara hidup yang semakin meningkat.
Antara punca utama kemarahan rakyat adalah kenaikan mendadak harga beras, makanan ruji yang telah mengalami lonjakan harga selama beberapa bulan akibat pelbagai faktor termasuk gangguan rantaian bekalan.
Harga bijiran melonjak sebanyak 101 peratus pada Mei berbanding tempoh sama tahun lalu, selepas mencatat peningkatan 98.4 peratus pada April dan 92.5 peratus pada Mac.
Lonjakan itu telah mendorong inflasi teras yang tidak mengambil kira harga makanan segar kepada 3.7 peratus, iaitu paras tertinggi sejak Januari 2023 dan meningkat daripada 3.5 peratus pada April.
Krisis beras itu turut memaksa kerajaan mengambil langkah luar biasa dengan mengeluarkan stok simpanan kecemasan sejak Februari, sesuatu yang kebiasaannya hanya dilakukan ketika bencana alam. – AFP
