TOKYO, 23 MEI – Inflasi Jepun melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh dua tahun pada April, menurut data yang dikeluarkan hari ini, apabila harga beras naik hampir dua kali ganda.
Ia mendorong bank pusat mempertimbangkan untuk menaikkan kadar faedah di tengah-tengah perang perdagangan yang dicetuskan oleh Donald Trump.
Perkembangan itu turut memberikan tekanan kepada Perdana Menteri Shigeru Ishiba menjelang pilihan raya pada Julai, selepas seorang menteri terpaksa meletak jawatan susulan kenyataan kontroversi mengenai makanan ruji negara itu, manakala pegawai kerajaan pula terpaksa menggunakan stok kecemasan.
Menurut Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, inflasi teras yang tidak melibatkan makanan segar itu telah meningkat kepada 3.5 peratus bulan lalu, dan ia merupakan peratusan tertinggi sejak Januari 2023 dan naik daripada 3.2 peratus pada Mac.
Harga beras melonjak sebanyak 98.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, melebihi peningkatan bulan sebelumnya.
Kenaikan mendadak dalam harga makanan utama rakyat Jepun itu menimbul krisis kepada kerajaan yang sudah pun bergelut untuk meraih semula sokongan selepas kehilangan majoriti parlimen dalam pilihan raya tahun lalu. – AFP
