Wednesday, March 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harga bufet terlampau mahal, elak pembaziran

    Sepanjang bulan Ramadan, budaya berbuka puasa di restoran yang menawarkan bufet sering menjadi pilihan ramai.

    Namun, ia juga menimbulkan persoalan mengenai pembaziran makanan dalam kalangan masyarakat kita.

    Dahulu, ramai yang menantikan bulan puasa untuk menikmati hidangan bufet yang bukan sahaja menawarkan sajian tempatan dan antarabangsa tetapi juga mesra di poket.

    Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, harga bufet meningkat seiring dengan inflasi dan kenaikan kos bahan mentah.

    Walaupun kualiti makanan mungkin lebih baik, harga yang tinggi menjadikannya kurang mampu dinikmati oleh golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

    GAMBAR FAIL MEDIA PERMATA

    Apa yang dahulunya satu pengalaman ‘sekali-sekala’ untuk berbuka di luar bersama keluarga dan rakan-rakan, kini terasa seperti pilihan eksklusif bagi mereka yang berkemampuan sahaja.

    Selain isu harga, satu lagi cabaran utama bufet Ramadan ialah pembaziran makanan.

    Banyak restoran menyediakan terlalu banyak pilihan makanan dan lebihan yang tidak habis terpaksa dibuang atas faktor kebersihan serta keselamatan makanan.

    Pada masa yang sama, sebilangan pelanggan cenderung mengambil makanan secara berlebihan tanpa menghabiskannya, yang akhirnya membawa kepada pembaziran makanan yang tidak sepatutnya berlaku.

    Sikap ini bukan sahaja merugikan, malah bercanggah dengan prinsip kesederhanaan yang dianjurkan dalam Islam.

    Saya berharap kesedaran terhadap isu pembaziran makanan dapat dipertingkatkan, agar masyarakat lebih berdisiplin dalam mengambil makanan sekadar mencukupi dan mengelakkan amalan membuang lebihan makanan.

    Dengan adanya kesedaran dan tanggungjawab bersama, kita dapat mewujudkan budaya berbuka puasa yang lebih sederhana, berhemah dan lestari, selaras dengan nilai Islam yang menekankan kesederhanaan serta keberkatan dalam setiap rezeki yang dikurniakan.

    Si Kurus

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda