HONG KONG, 8 OKT — Harga emas melonjak melepasi paras AS$4,000 buat kali pertama hari ini apabila pelabur beralih kepada aset selamat berikutan jangkaan pemotongan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan kebimbangan terhadap penutupan kerajaan AS.
Lonjakan logam berharga itu turut disokong oleh kebimbangan pelabur terhadap saham berasaskan teknologi yang mendorong beberapa pasaran ekuiti mencatat paras tertinggi mungkin telah melampaui asas sebenar dan mencetuskan risiko gelembung aset.
Sepanjang tahun ini, pelabur giat membeli emas sehingga harganya meningkat lebih 50 peratus sejak awal tahun, didorong oleh pelbagai faktor termasuk ketidaktentuan ekonomi global, perang perdagangan oleh Donald Trump serta krisis geopolitik di beberapa wilayah.
Daya tarikan emas semakin kukuh minggu ini susulan ketegangan politik di Perancis apabila Perdana Menterinya meletak jawatan, manakala bekas Perdana Menteri yang juga sekutu Presiden Emmanuel Macron mendesak supaya beliau turut berundur dan mengadakan pilihan raya awal.

Emas sejak sekian lama dianggap aset selamat ketika ketidaktentuan, mencecah paras tertinggi AS$4,037.10 hari ini, meskipun dolar AS mengukuh berbanding kebanyakan mata wang utama lain dalam beberapa hari kebelakangan ini. Perak turut menghampiri paras tertingginya sendiri.
Penutupan sebahagian operasi kerajaan AS menambah lagi kebimbangan pelabur apabila beberapa data ekonomi penting termasuk pekerjaan ditangguhkan, sekali gus menyukarkan Rizab Persekutuan (Fed) dalam membuat keputusan mengenai hala tuju kadar faedah.
Ketika para pelabur giat membeli emas hingga mendorong kenaikan harga yang tinggi, pasaran saham Asia pula kekal berhati-hati apabila timbul persoalan mengenai ratusan bilion dolar yang telah dilaburkan dalam sektor kecerdasan buatan (AI).
Fenomena ledakan AI menyebabkan beberapa indeks dan syarikat teknologi mencapai paras tertinggi baharu, termasuk gergasi cip Nvidia yang kini dinilai melebihi AS$4 trilion. – AFP

