KOTA BHARU, 8 JUN – Harga perkhidmatan menggunting rambut di Kelantan mungkin meningkat antara RM5 hingga RM10 apabila kedai gunting beroperasi semula Rabu ini atas alasan pengusaha perlu menampung kos tambahan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan pandemik COVID-19.
Menurut Pengurus Twin Dad and Barbershop Afif Wajdy Mustafa Afifi, 26, kenaikan harga itu juga telah dipersetujui oleh Persatuan Barber Kelantan yang bermesyuarat semalam.
“Kami tidak mempunyai pilihan kerana jika tidak menyediakan kelengkapan-kelengkapan seperti apron pakai buang untuk tukang gunting dan pelanggan, pelindung muka serta cecair pensanitasi tangan, kami tidak boleh beroperasi,” katanya ketika ditemui Bernama di kedai tersebut di Telipot di sini, hari ini. Katanya susulan itu, pihaknya terpaksa menaikkan harga sebanyak RM5 bagi setiap pelanggan berbanding kadar praCOVID-19 iaitu RM20 untuk orang dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak.
Selain itu katanya, pihaknya juga menghadapi kesukaran mendapatkan apron untuk kegunaan tukang gunting dan ‘cutting cape’ untuk pelanggan kerana permintaan terhadap kedua-dua barangan tersebut meningkat secara mendadak selepas pengumuman kerajaan membenarkan kedai gunting rambut beroperasi.
“Tiada masalah bagi kami untuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan namun dalam masa yang sama, kami berharap agar pelanggan dapat memahami kenapa harga gunting rambut meningkat,” katanya. – Bernama
