PUTRAJAYA, 31 JULAI – Harga Internet dijangka lebih murah menjelang September ini apabila Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) diguna pakai, kata
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Bil7/2023 di sini hari ini, beliau berkata penggunaan MSAP akan menyaksikan harga borong Internet dikurangkan dan menjadi lebih murah.
“Jadi Insya-Allah menjelang bulan September, harga Internet jadi lebih murah… kalau sebelum ini murah, tetapi kali ini (jadi) lebih murah,” katanya.
Pada 11 Julai lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata pengurangan harga runcit bagi perkhidmatan jalur lebar tetap berdasarkan MSAP hanya boleh dilaksanakan selepas perjanjian akses dimeterai antara pembekal perkhidmatan.
MCMC berkata buat masa ini, kebanyakan pembekal akses telah atau sedang dalam proses penerbitan Tawaran Akses Rujukan (RAO).
Kerajaan telah melancarkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap pada Februari lepas yang bertujuan membantu golongan B40, veteran, Orang Kurang Upaya dan warga tua. Pakej ini disertai dengan kontrak langganan selama 24 bulan dan berharga RM69 sebulan, menyediakan kelajuan Internet sehingga 30Mbps dengan data tanpa had. – Bernama