Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi memaklumkan mengenai pelaksanaan Penetapan Harga Maksimum Bermusim (PHMB) ke atas tujuh barangan makanan terpilih di sepanjang bulan Ramadan hingga minggu pertama Syawal 1446 Hijrah.
Inisiatif tahunan ini adalah kerjasama di antara JPES dan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan bertujuan bagi mengekalkan kemampuan dan kemudahan para pengguna bagi memperolehi keperluan barangan makanan terpilih semasa musim perayaan.
Sebagai tambahan kepada pelaksanaan kawalan harga secara sepanjang masa ke atas produk minyak masak, susu tepung formula, beras dan gula, berikut adalah kategori makanan terpilih yang akan dikawal harga secara bermusim iaitu ayam bulat, telur ayam, mentega, marjerin, minyak sapi, tepung serta susu pekat cair dan krim.

Senarai penuh harga maksimum boleh diperolehi melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau laman sesawang JPES di www.deps.mofe.gov.bn/cad.
JPES menekankan bahawa harga maksimum yang ditetapkan adalah harga siling tetapi bukan harga runcit yang disyorkan. Dalam erti kata lain, peniaga adalah digalakkan untuk menawarkan harga yang lebih rendah dan kompetitif serta tidak melebihi harga siling yang ditetapkan.
Pendekatan ini dapat memastikan kemampuan yang terjangkau sambil mengekalkan pasaran yang adil dan dinamik. JPES menggalakkan pengguna untuk membuat perbandingan harga, pilihan dan substitut melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak, yang mempromosi ketelusan harga dan membantu dalam membuat keputusan pembelian bermaklumat dengan nilai harga terbaik. Aplikasi tersebut membolehkan pengguna mendapatkan harga runcit bagi beberapa komoditi makanan secara mingguan dari pelbagai kedai di seluruh negara.
Peniaga yang menjual melebihi harga maksimum akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 termasuk denda sehingga $1,000 dan $20,000 atau lima tahun penjara bagi kesalahan berulang.

Pengguna boleh melaporkan kesalahan kepada JPES melalui Talian Darussalam 123 atau aplikasi mudah alih PenggunaBijak, dengan menyertakan maklumat lengkap termasuk dokumen sokongan seperti resit pembayaran dan gambar.