ANKARA, 16 JUN – Harga minyak boleh me-lonjak sehingga AS$130 setong sekiranya Iran memutuskan untuk menutup Selat Hormuz, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik akhbar Turkiye Hurriyet pada Isnin.
Ahli Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Esmail Kowsari berkata pada Sabtu bahawa Tehran sedang mempertimbangkan untuk menutup selat itu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel.
Selat itu mengendalikan 20 peratus penghantaran minyak global dan 80 peratus daripada perdagangan minyak serta gas asli cecair (LNG) bagi Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Akhbar itu meramalkan konflik antara Israel dan Iran akan berterusan, sambil menambah bahawa kesan peperangan terhadap ekonomi bergantung kepada tempoh dan tahap peningkatan serangan. Konflik yang berpanjangan boleh melumpuhkan ekonomi, tetapi jika ia berakhir dalam tempoh 14 hari seperti yang dijangka, kesannya dijangka terhad.
Selat Hormuz menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman. Kapal kemudian akan memasuki Laut Arab dan Lautan Hindi. Pantai utara selat itu merupakan wilayah Iran, manakala bahagian selat di sebelah selatan adalah milik Oman dan UAE. Selat itu mengendalikan 10 hingga 20 peratus minyak global serta kira-kira 20 peratus penghantaran LNG. – Bernama
