Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harga minyak rendah, keuntungan Saudi Aramco merosot 15 peratus

    RIYADH, 5 NOV – Saudi Aramco melaporkan kemerosotan keuntungan suku ketiga sebanyak 15 peratus tahun-ke-tahun hari ini disebabkan harga minyak yang rendah.

    Kemerosotan dalam pendapatan bersih kepada AS$27.56 bilion tahun ini daripada AS$32.58 bilion pada tahun 2023 ‘terutamanya disebabkan oleh kesan daripada harga minyak mentah yang lebih rendah dan pengurangan margin penapisan,’ kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan yang disiarkan di bursa saham Saudi.

    Arab Saudi, pengeluar minyak mentah terbesar di dunia, kini menghasilkan kira-kira sembilan juta tong sehari (bpd), jauh di bawah kapasiti sebanyak 12 juta bpd.

    Ia mencerminkan beberapa siri pengurangan pengeluaran yang bermula sejak Oktober 2022.

    Pada Ahad lalu, Arab Saudi dan tujuh anggota lain daripada kumpulan OPEC+ yang terdiri daripada negara-negara pengeluar minyak mengumumkan bahawa mereka akan melanjutkan pengurangan sebanyak 2.2 juta tong yang diumumkan pada November 2023 selama sebulan lagi, sehingga akhir Disember.

    “Aramco mengumumkan pendapatan bersih yang kukuh dan menghasilkan aliran tunai bebas yang kukuh pada suku ketiga, meskipun persekitaran harga minyak yang rendah,” kata Pegawai Eksekutif Aramco, Amin Nasser dalam satu kenyataan.

    Syarikat tersebut sedang berusaha untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam sektor tenaga dan petrokimia global.

    Aramco merupakan permata ekonomi dan sumber utama pendapatan Arab Saudi untuk agenda pembaharuan Wawasan 2030 Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang bertujuan untuk mempersiapkan negara Teluk itu menghadapi masa depan yang makmur selepas minyak.

    Keuntungan tersebut mampu membiayai projek-projek utama termasuk NEOM, bandar mega futuristik yang akan dibina di padang pasir, sebuah lapangan terbang gergasi di Riyadh dan pembangunan pelancongan serta rekreasi utama. – AFP

    Amin Nasser bercakap semasa persidangan tahunan Inisiatif Pelaburan Masa Hadapan (FII) di Riyadh pada 29 Oktober lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda