BEIJING, 9 NOV – Harga pengguna di China mencatat peningkatan pada bulan Oktober, menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini, sekali gus menamatkan beberapa bulan kekangan dan penurunan ketika negara itu berdepan pelbagai cabaran ekonomi.
Beijing terus berusaha mengekalkan pemulihan ekonomi yang kukuh pascapandemik, sementara bergelut dengan krisis hutang dalam sektor hartanah yang besar, tahap perbelanjaan domestik yang rendah dan kadar pengangguran belia yang tinggi.
Indeks Harga Pengguna (CPI), ukuran utama inflasi, meningkat 0.2 peratus tahun ke tahun pada bulan lalu, menurut Biro Statistik Kebangsaan (NBS). Harga pengguna sebelum ini kekal mendatar pada Julai diikuti dua bulan penurunan.
Perang dagang dengan Amerika Syarikat (AS) turut memburukkan cabaran ekonomi China. Namun kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu mencapai detente selepas Presiden AS Donald Trump bertemu rakan sejawatnya Presiden Xi Jinping di Korea Selatan pada akhir Oktober.
Harga pengeluar juga menurun pada Oktober tetapi pada kadar yang lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya, menurut NBS. Indeks Harga Pengeluar (PPI), yang mengukur harga barangan sebelum memasuki pasaran borong atau pengedaran, susut 2.1 peratus berbanding setahun lalu, berbanding penurunan 2.3 peratus pada September.
Penurunan PPI menunjukkan margin keuntungan yang lebih ketat bagi syarikat yang terlibat dalam perang harga sengit, sesuatu yang sedang diusahakan pihak berkuasa untuk dibendung. – AFP


