Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harga pengguna di China kekal stabil

    BEIJING, 10 OGOS – Harga pengguna di China kekal stabil pada Julai, menurut data rasmi kelmarin, memberikan sedikit kelegaan kepada ekonomi kedua terbesar dunia yang kini berdepan tekanan deflasi tinggi dan permintaan domestik yang rapuh.

    Indeks harga pengguna (CPI) – ukuran utama inflasi – tidak berubah berbanding setahun lalu pada bulan Julai, menurut data yang dikeluarkan oleh Biro Perangkaan Negara China.

    Bacaan itu lebih baik berbanding penurunan 0.1 peratus yang dijangka dalam tinjauan ahli ekonomi oleh Bloomberg.

    Namun, harga tetap mencatatkan penurunan tahun ke tahun di kawasan luar bandar (turun 0.3 peratus) dan bagi barangan pengguna (turun 0.4 peratus).

    Walaupun deflasi mungkin memberi manfaat kepada pengguna, ia boleh mengancam ekonomi secara keseluruhan kerana isi rumah cenderung menangguhkan pembelian dengan harapan harga akan menjadi lebih rendah.

    Pelanggan membeli sayur-sayuran di sebuah pasar tradisional di Shenyang, wilayah Liaoning, utara China pada 9 Ogos. – AFP

    Bagaimanapun, krisis jangka panjang dalam sektor hartanah serta kadar pengangguran belia yang tinggi telah menekan sentimen pengguna di China selama beberapa tahun.

    Keadaan bertambah buruk dengan ketidaktentuan yang dicetuskan oleh perang dagang Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

    Selepas empat bulan berturut-turut mencatatkan penurunan, harga kembali meningkat pada Jun.

    “Trend penurunan harga kereta dan telefon bertambah baik, yang menyumbang kepada kenaikan CPI teras,” kata Presiden dan Ketua Ekonomi Pinpoint Asset Management, Zhiwei Zhang.

    “Namun, masih belum jelas sama ada ini menandakan berakhirnya deflasi di China,” katanya.

    “Sektor hartanah masih belum stabil. Ekonomi masih lebih bergantung pada permintaan luar berbanding penggunaan domestik,” ujarnya.

    Dalam satu lagi petanda membimbangkan, harga kilang di China terus merosot pada Julai. Indeks harga pengeluar (PPI) susut 3.6 peratus tahun ke tahun pada Julai, selepas penurunan yang sama pada Jun.

    Penurunan ini, yang berlanjutan hampir tiga tahun, bermakna margin keuntungan syarikat yang terlibat dalam perang harga sengit semakin mengecil, sesuatu yang cuba dibendung oleh pihak berkuasa.

    Minggu ini, China mencatatkan pemulihan dalam perdagangan luar pada Julai berbanding tahun lalu.

    Namun, gencatan tarif antara Beijing dan Washington dijangka berakhir pada Selasa, dan pada ketika itu tarif AS berpotensi kembali ke paras yang lebih tinggi. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda